Exsim peroleh subkontrak RM16 juta kerja perkhidmatan bangunan daripada Nestcon Builders

9 Oct 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Exsim peroleh subkontrak RM16 juta kerja perkhidmatan bangunan daripada Nestcon Builders Image from: Exsim peroleh subkontrak RM16 juta kerja perkhidmatan bangunan daripada Nestcon Builders amree09/10/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt — Exsim Hospitality Berhad memperoleh subkontrak bernilai RM15.62 juta bagi kerja-kerja perkhidmatan bangunan, sekali gus mengukuhkan penglibatannya dalam perniagaan kontrak dan perkhidmatan berkaitan hartanah hospitaliti.

 

Berdasarkan makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, tender itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Exsim Concepto Sdn Bhd (ECSB), yang menerima surat penganugerahan (LOA) daripada Nestcon Builders Sdn Bhd pada 8 Oktober 2026. 

 

Ujar syarikat berkenaan, subkontrak tersebut bertarikh 6 Oktober 2026, dengan skop kerja yang merangkumi pelbagai aktiviti pembekalan dan pemasangan perkhidmatan bangunan serta pelaksanaan kerja-kerja berkaitan pembinaan am.

 

"Projek tersebut sudah bermula pada 8 Oktober 2026 dan dijadualkan perlu disiapkan menjelang 31 Oktober 2028, dengan tempoh pelaksanaan kontrak selama 24 bulan," kata Exsim Hospitality.

 

Selepas kerja-kerja berkenaan mencapai Sijil Siap Kerja Praktikal, projek itu turut tertakluk kepada tempoh tanggungan kecacatan selama 27 bulan bermula dari tarikh sijil tersebut dikeluarkan.

 

Menurutnya lagi, penerimaan kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan tahap penggearan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

Exsim Hospitality_DagangNews2026

 

ECSB terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan pengubahsuaian dan kelengkapan khusus bagi aset hartanah hospitaliti, selain menjalankan perniagaan kontraktor am serta perolehan berpusat.

 

"Sementara itu, Nestcon Builders merupakan syarikat yang menjalankan kerja-kerja pembinaan serta menyediakan perkhidmatan pengendali kenderaan berlesen dan ejen pengangkutan," tambahnya lagi.

 

Dalam pada itu, Exsim Hospitality menambah, kontrak berkenaan tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pemegang saham syarikat tersebut atau pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan. 

 

Pada masa sama jelas kumpulan berkenaan, tiada kepentingan secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mereka dalam kontrak itu.

 

Lembaga pengarah turut berpandangan tender itu adalah dalam urusan perniagaan biasa dan diterima demi kepentingan terbaik kumpulan, dengan tiada risiko luar biasa dikenal pasti selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan kontrak.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, Exsim Hospitality mencatatkan keuntungan bersih RM40.75 juta, meningkat 126% berbanding tahun sebelumnya, manakala hasil melonjak 91.9% kepada RM281.23 juta, didorong pengembangan perniagaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved