
HOUSTON, 5 JULAI: Maghribi menewaskan Kanada 3-0 di Stadium Houston sekali gus menjadi pasukan pertama mara ke suku akhir Piala Dunia FIFA, lapor Xinhua.
Walaupun skuad kendalian Jesse Marsch menguasai separuh masa pertama, Atlas Lions mempamerkan kelas tersendiri pada babak kedua apabila Azzedine Ounahi menjaringkan dua gol sebelum Soufiane Rahimi menambah gol ketiga pada penghujung permainan untuk mengesahkan kemenangan.
Maghribi akan menentang pemenang perlawanan antara Perancis dan Paraguay Khamis ini.
"Kami amat gembira. Ini perlawanan Piala Dunia dan perlawanan seperti ini sukar kerana pasukan berjuang habis-habisan. Kami memberikan reaksi yang sangat baik pada separuh masa kedua, terutamanya dalam perebutan bola kedua dan pertarungan satu lawan satu.
"Saya juga harus akui bahawa Kanada beraksi dengan cemerlang -- mereka mempamerkan permainan bertaraf tinggi. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kami, tetapi pada separuh masa kedua kami berjaya memanfaatkan ruang yang mereka tinggalkan dan itulah kuncinya," kata jurulatih Maghribi Mohamed Ouahbi.
Dengan kemenangan itu, Maghribi menjadi pasukan Afrika pertama yang mara ke suku akhir Piala Dunia sebanyak dua kali.
Kanada lebih agresif pada separuh masa pertama dengan memberikan tekanan berterusan kepada Maghribi, memaksa lawan melakukan kesilapan yang jarang berlaku selain melancarkan serangan pantas setiap kali merampas bola.
Pasukan Les Rouges memperoleh peluang pertama seawal minit kelima apabila bola jatuh kepada Jonathan David, namun percubaannya dari sudut sukar berjaya disekat Yassine Bounou.
Selaku tuan rumah bersama, Kanada terus mengasak dan pada minit ke-10, Tani Oluwaseyi mencipta peluang berbahaya selepas melepasi kawalan pertahanan, namun rembatan derasnya berjaya diselamatkan Bounou.
Pasukan Afrika Utara itu menerima tamparan awal apabila penjaring terbanyaknya, Ismael Saibari, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan oleh Rahimi.
Skuad Atlas Lions terpaksa menunggu sehingga minit ke-28 untuk mencatat percubaan tepat pertama menerusi rembatan rendah jarak jauh Rahimi, namun mudah diselamatkan Maxime Crepeau.
Sebaliknya, Kanada merekodkan empat percubaan tepat pada separuh masa pertama yang dikuasai mereka.
Bagaimanapun, Maghribi mengubah rentak permainan sejurus babak kedua bermula. Achraf Hakimi melakukan sepakan percuma rendah dari sebelah kanan dan menemui Ounahi yang langsung tidak dikawal sama sekali.
Pemain tengah itu menyudahkan peluang dengan kemas menerusi sentuhan pertamanya pada minit ke-50 untuk memecah kebuntuan.
Pada minit ke-78, Kanada memperoleh peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma, kira-kira 17 meter dari gawang. David cuba melambungkan bola melepasi benteng pertahanan, namun percubaannya sedikit melepasi palang gol.
Maghribi menggandakan kelebihan pada minit ke-82 apabila Ounahi menyempurnakan hantaran lintang Brahim Diaz untuk menjadikan kedudukan 2-0 ketika Maghribi melancarkan serangan balas pantas.
Skuad Atlas Lions menambah gol ketiga pada minit terakhir masa kecederaan. Sekali lagi menerusi serangan balas, Diaz mengumpan bola kepada Rahimi yang menewaskan Crepeau menerusi sentuhan terakhir perlawanan untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Sementara itu, Jurulatih Kanada Jesse Marsch berkata gol pembukaan Maghribi mengubah momentum permainan dan memaksa pasukannya mengambil lebih banyak risiko.
Marsch berkata ketika rehat hidrasi, beliau mengingatkan pemainnya supaya terus bersabar dan tidak melepaskan gol kedua.
"Namun, hampir serta-merta kami kehilangan bola yang membawa kepada serangan balas berbahaya dan akhirnya kami dihukum. Malah, gol kedua juga berpunca daripada kehilangan bola yang tidak sepatutnya berlaku. Kami sepatutnya terus kekal dalam permainan dan meneruskan asakan," katanya.


