
Maghribi Tidak Lakukan Ibadah Korban Tahun Ini
KHEMISSET — Sambutan Aidiladha di Maghribi tahun ini dijangka suram apabila kerajaan menyeru rakyat untuk tidak melakukan ibadah korban susulan kemarau berpanjangan yang menjejaskan sektor ternakan negara, lapor AFP.
Raja Mohammed VI dalam kenyataan pada akhir Februari lalu menggesa rakyat agar menangguhkan penyembelihan haiwan korban, memandangkan negara sedang menghadapi cabaran iklim dan ekonomi yang serius. Baginda memaklumkan bahawa jumlah ternakan negara telah menurun secara drastik akibat kekurangan hujan selama tujuh tahun berturut-turut.
“Tidak seperti tahun-tahun lalu, kami tidak merasai suasana perayaan.
“Dengan harga kambing yang sangat tinggi, kami memang tidak mampu melakukan korban,” kata Fatima Kharraz, 52, penduduk tempatan di Khemisset.
Di pasar ternakan mingguan di bandar kecil itu, suasana lengang tanpa kehadiran kambing yang kebiasaannya menjadi tumpuan utama menjelang Aidiladha.
Difahamkan, harga kambing yang terlalu mahal, mencecah antara 6,000 hingga 7,000 dirham (RM3,200 hingga RM3,800) membebankan kebanyakan rakyat yang berpendapatan rendah.
Menurut Kementerian Pertanian Maghribi, bilangan ternakan menurun lebih satu pertiga berbanding bancian terakhir pada 2016. Dalam masa sama, kekurangan padang ragut meningkatkan kos makanan haiwan, sekali gus menyebabkan harga daging merah naik mendadak.
“Saya tinggalkan kambing di ladang kerana tiada siapa mampu beli. Kalau bawa pun, memang tak laku,” kata Marouane Haizoun, 24, seorang penternak yang hanya membawa dua ekor lembu ke pasar.
Kerajaan telah mengumumkan pelan bantuan berjumlah 6.2 bilion dirham (RM3.4 bilion) bagi membantu penternak, termasuk subsidi makanan ternakan dan pengurangan hutang.
Namun, penternak kecil berharap bantuan diagihkan secara adil dan tidak hanya menguntungkan pemain industri besar.
Setiap tahun, sekitar enam juta kambing biasanya dikorbankan di seluruh negara.
Namun, tahun ini angka itu dijangka jauh lebih rendah, dengan kebanyakan keluarga hanya mampu membeli daging potong atau organ dalaman seperti hati kambing untuk menyambut Aidiladha.
Sumber: AFP via France 24
The post Maghribi Tidak Lakukan Ibadah Korban Tahun Ini appeared first on Siakap Keli.





