Magis Harry Potter kembali selepas 25 tahun

LocalMovie
3 Sep 2026 • 10:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Magis Harry Potter kembali selepas 25 tahun

PEMINAT Harry Potter berpeluang merasai sendiri pengalaman seolah-olah berada di dunia ahli sihir apabila Pavilion Damansara Heights mengubah ruang pusat beli-belah itu menjadi lokasi penuh magis sempena sambutan Harry Potter: 25 Years of Magic.

Berlangsung dari 20 Ogos hingga 20 September ini, sambutan selama sebulan itu meraikan ulang tahun ke-25 filem Harry Potter and the Philosopher’s Stone yang pertama kali membawa kisah dunia sihir ke layar perak.

Menariknya, pengunjung bukan sekadar boleh bergambar dengan dekorasi bertemakan Harry Potter, malah dibawa menyusuri perjalanan yang diinspirasikan daripada beberapa lokasi ikonik dalam dunia sihir berkenaan.

Pengalaman bermula di Platform 9¾, lokasi yang cukup sinonim dengan perjalanan Harry dan rakan-rakannya menuju ke Hogwarts.

Pengunjung boleh beraksi dengan troli seolah-olah menembusi dinding bata misteri itu, selain bergambar di sisi pondok telefon yang menjadi sebahagian daripada dekorasi bertemakan dunia sihir.

Dari situ, perjalanan diteruskan ke Hogwarts Express, lengkap dengan rekaan lokomotif yang terperinci, kesan wap pada waktu tertentu dan bahagian kabin yang direka bagi memberikan gambaran seolah-olah pengunjung benar-benar dalam perjalanan ke Hogwarts.

Image from: Magis Harry Potter kembali selepas 25 tahun

Bagi yang mahu menyelami suasana lebih jauh, pengunjung boleh meneroka kawasan Hogsmeade yang menampilkan pelbagai barangan bertemakan Harry Potter serta pameran diorama.

Pengalaman itu kemudiannya berakhir di Workshop Area, yang memberi peluang kepada pengunjung menghasilkan cenderahati sendiri menerusi aktiviti kraftangan bertemakan Harry Potter.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion Malls, Datuk Joyce Yap berkata, selepas 25 tahun, Harry Potter masih berjaya mencetuskan imaginasi pelbagai generasi dan menghubungkan peminat di seluruh dunia.

“Kami seronok meraikan detik istimewa ini dengan membawa keajaiban dunia sihir lebih dekat kepada pengunjung menerusi pengalaman yang menggabungkan keluarga, rakan-rakan dan peminat,” katanya.

Pengunjung juga boleh menyertai Campaign Journey Redemption, iaitu misi interaktif membabitkan tiga stesen untuk melengkapkan cabaran dan mendapatkan ganjaran eksklusif.

Misi pertama, Prove You’re Here, memerlukan pengunjung mengimbas kod QR sebelum merakam serta berkongsi pengalaman mereka di Platform 9¾ dan Hogwarts Express menggunakan tanda pagar rasmi kempen.

Cabaran seterusnya, Find the Lost Cargo, mengajak pengunjung memburu lima artifak dunia sihir yang disembunyikan di sekitar kawasan pameran.

Image from: Magis Harry Potter kembali selepas 25 tahun

Misi terakhir, Join Our Journey, pula membawa pengunjung masuk ke kabin Hogwarts Express untuk berkongsi kenangan dan pengalaman kegemaran mereka berkaitan Harry Potter.

Selepas melengkapkan ketiga-tiga misi, pengunjung boleh ke redemption booth untuk pengesahan penyertaan dan menebus pek pelekat Harry Potter edisi terhad.

Bagi yang mahu membawa pulang sesuatu yang lebih istimewa, Miniso turut menyediakan koleksi barangan rasmi Harry Potter, manakala beberapa bengkel kraftangan akan diadakan pada hujung minggu terpilih di Workshop Area, Concourse, Aras 2.

Antara aktiviti yang ditawarkan ialah 25 Celebration Hat Workshop pada 22, 23 Ogos, 5, 6, 19 dan 20 September, selain Shrink the Celebration Workshop pada 29, 30 Ogos serta 12 dan 13 September.

Setiap bengkel berlangsung pada pukul 2 dan 4 petang.

Peminat yang berbelanja sekurang-kurangnya RM300 dalam satu resit boleh menebus sepasang stokin Harry Potter daripada Footer, manakala perbelanjaan RM500 melayakkan mereka menerima satu pouch Harry Potter dengan pilihan empat rekaan, tertakluk kepada stok dan terma ditetapkan.

The post Magis Harry Potter kembali selepas 25 tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved