
PUTRAJAYA: Berbanding sesi raptai sebelum ini yang sedikit diganggu jerebu, cuaca baik di Dataran Putrajaya pagi ini seolah-olah turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Berdasarkan semakan, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) merekodkan status sederhana dengan keadaan langit cerah sekali gus membolehkan acara berprestij itu diraikan ribuan pengunjung yang hadir di sini hari ini.
Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) merekodkan bacaan IPU di Putrajaya pada paras 79 setakat pukul 7 pagi tadi.
Walaupun bacaan itu dikategorikan pada tahap sederhana, namun keadaan kualiti udara masih terkawal dan tidak menjejaskan kelancaran sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-69 hari ini.
Tinjauan mendapati jarak penglihatan berada dalam keadaan baik, sekali gus membolehkan acara perbarisan, perarakan serta pertunjukan udara berlangsung seperti dijadualkan.
Hari ini, Dataran Putrajaya akan menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang menyaksikan penglibatan sebanyak 76 kontinjen membabitkan 10,819 peserta selain menampilkan sejumlah 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias serta 328 aset darat, laut serta darat selain 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan. – UTUSAN
The post Cuaca baik iringi sambutan Hari Kebangsaan 2026 appeared first on Utusan Malaysia.






