Mah Sing dapat manfaatkan peningkatan permintaan hartanah perindustrian melalui usahasama – MIDF Research

Business & Finance
8 Sep 2023 • 10:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mah Sing dapat manfaatkan peningkatan permintaan hartanah perindustrian melalui usahasama – MIDF Research

diyana

08/09/2023 - 10:55

KUALA LUMPUR 8 Sept - Syarikat usahasama membolehkan Mah Sing Group Berhad memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk hartanah perindustrian di Malaysia daripada pembeli di China, menurut MIDF Research.

Mah Sing dilaporkan telah memeterai perjanjian melalui dua anak syarikatnya – Nova Legend Development Sdn Bhd dan Jastamax Sdn Bhd – dengan The South Sea Capital Sdn Bhd (TSSC) bagi membentuk syarikat usahasama, bernama Mah Sing South Sea Industrial Development Sdn Bhd, untuk menceburi pembangunan hartanah perindustrian.

Memandangkan salah seorang Pengarah TSSC, Sun Jianwei merupakan Presiden Eksekutif Persatuan Perniagaan Usahawan JiangSu Malaysia, firma penyelidikan itu berkata usaha sama tersebut membawa nilai dengan rangkaian meluas Jianwei tentang JiangSu, yang merupakan wilayah kedua terkaya di China.

“JiangSu mempunyai landskap perindustrian yang pelbagai dengan sektor utama daripada pembuatan kepada teknologi dan perkhidmatan.

“Sementara itu, usaha sama akan membantu Mah Sing memperkembangkan portfolio pembangunan perindustriannya,” katanya dalam nota penyelidikan, sambil menambah bahawa kumpulan itu telah menyiapkan lima taman perindustrian sebelum ini.

Di samping itu, MIDF Research berkata model perniagaan berisiko rendah berikutan Mah Sing dijangka hanya mula mencari tanah perindustrian untuk pembangunan selepas mendapatkan pembeli dari China.

“Sementara itu, kami difahamkan Mah Sing sedang berunding dengan pelbagai pembeli berpotensi dari China dan perbankan tanah untuk pembangunan perindustrian berkemungkinan berlaku paling awal menjelang akhir tahun ini atau tahun depan.

“Oleh itu, kami tidak menjangka kesan pendapatan daripada usahasama dalam jangka masa terdekat.

“Manakala margin keuntungan daripada hartanah perindustrian biasanya lebih tinggi pada 20% hingga 30%, justeru memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik kepada Mah Sing pada masa hadapan,” tambahnya.

MIDF Research tidak membuat perubahan pada unjuran pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 205 (FY23-25), namun menaikkan harga sasaran (TP) kepada 90 sen sesaham daripada 83 sen dengan mengekalkan saranan ‘beli’.

Pada 10:51 pagi ini, saham Mah Sing susut 1.5 sen atau 2% kepada 75.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM1.8 bilion. - DagangNews.com