Mah Sing labur RM186.17 juta beli 14.38 ekar tanah di Ampang, rancang bangunkan projek RM1.92 bilion

26 Aug 2026 • 2:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mah Sing labur RM186.17 juta beli 14.38 ekar tanah di Ampang, rancang bangunkan projek RM1.92 bilion Image from: Mah Sing labur RM186.17 juta beli 14.38 ekar tanah di Ampang, rancang bangunkan projek RM1.92 bilion hamden26/08/2026 - 14:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Mah Sing Group Bhd memperkukuh kedudukannya di Ampang menerusi pengambilalihan tanah seluas 14.3775 ekar bernilai RM186.17 juta, yang bakal dibangunkan sebagai projek pangsapuri servis M Araya dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM1.92 bilion.

 

Tapak berkenaan terletak bertentangan AEON BiG Ampang dan merupakan projek ketiga kumpulan di kawasan itu selepas M Suites dan M City.

 

Pengambilalihan tersebut melibatkan tiga bidang tanah bersebelahan, dengan sebahagian besar tanah berstatus pegangan bebas, manakala 1.983 ekar kini berstatus pajakan.

 

Mah Sing bercadang memohon untuk menukar bidang tanah pajakan itu kepada status pegangan bebas, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

 

Kumpulan itu berkata, pembangunan M Araya, yang tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan, akan menawarkan unit dengan anggaran keluasan binaan antara 700 hingga 1,000 kaki persegi pada harga bermula RM399,000.

 

Pendaftaran awal bagi projek itu dijangka dibuka pada suku pertama 2027, manakala pelancaran disasarkan pada tahun sama.

 

Mahsing

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pengambilalihan tersebut selaras dengan strategi kumpulan untuk menambah semula rizab tanah di lokasi yang telah terbukti mempunyai infrastruktur lengkap serta permintaan yang mampan.

 

"Ampang kekal sebagai antara pasaran kediaman paling matang di Lembah Klang, disokong rangkaian perhubungan yang baik, kemudahan lengkap serta kawasan tadahan penduduk yang besar.

 

"Setelah berjaya menyiapkan M Suites dan M City, kami mempunyai pemahaman yang baik mengenai pasaran ini dan kekal yakin terhadap potensi pertumbuhan jangka panjangnya," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif subsidiari hartanah Mah Sing, Datuk Yeoh Chee Beng berkata, M Araya menyasarkan pembeli rumah pertama, golongan profesional muda serta pemilik rumah sedia ada yang mahu menaik taraf daripada hartanah bertanah lama, namun masih mahu kekal dalam komuniti sedia ada.

 

Dari segi aksesibiliti, tapak pembangunan itu mempunyai akses terus ke Jalan Taman Putra serta berhubung dengan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH). - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved