Mah Sing raih RM617.9 juta jual tanah di Southville City

Business & Finance
20 Aug 2026 • 4:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mah Sing raih RM617.9 juta jual tanah di Southville City

PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) melupuskan tanah komersial seluas 31.89 hektar di Mah Sing DC Hub @ Southville City pada nilai RM617.9 juta.

Pelupusan tanah pada harga RM180 sekaki persegi itu dibuat kepada WG Malaysia X Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh kumpulan infrastruktur digital antarabangsa.

Langkah penjanaan pendapatan tanah itu mengukuhkan kedudukan Mah Sing DC Hub @ Southville City sebagai destinasi pelaburan infrastruktur digital berskala besar, sekali gus membolehkan Kumpulannya mengitar semula modal ke dalam peluang berimpak lebih tinggi.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, urus niaga berkenaan membuktikan keupayaan syarikat mengenal pasti sektor pertumbuhan baharu serta mencungkil nilai daripada simpanan tanahnya.

“Infrastruktur digital merupakan lanjutan semula jadi kepada keupayaan pembangunan kami dan kami berhasrat untuk membina sektor ini menjadi enjin pertumbuhan kedua yang penting buat Mah Sing bagi jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.

Urus niaga tersebut menandakan fasa penting dalam transformasi strategik Mah Sing daripada pemaju hartanah kepada pemaju infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI) bersepadu menerusi strategi pelbagai fasa merangkumi monetisasi, pembangunan dan pemilikan aset.

Syarikat pembeli dilaporkan mempunyai minat tinggi daripada rakan bersekutu untuk membawa keupayaan NeoCloud dan pengkomputeran GPU NVIDIA bersama fasiliti pusat data bagi menyokong beban kerja AI di hab berkenaan.

Selain penjanaan pendapatan tanah, Mah Sing turut merancang membangunkan pusat data kolokasi di Southville City menerusi kerjasama strategik bersama pengendali berpengalaman bagi menjana pendapatan berulang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Lionel Leong Jihn Haur memberitahu, potensi pasaran AI dan awan membuka ruang untuk syarikat bergerak lebih jauh dalam rantai nilai infrastruktur digital.

“Menerusi kerjasama bersama rakan teknologi dan infrastruktur antarabangsa, kami mahu mewujudkan pemindahan teknologi serta membina keupayaan kontraktor, pembekal dan bakat tempatan merangkumi jurutera dan tenaga kerja TVET,” katanya.

Selain Southville City, Mah Sing turut mengenal pasti simpanan tanah di Meridin East dan MS Industrial Park @ Kulai di Johor yang berpotensi menyokong pembangunan pusat data hyperscale dan AI di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). – UTUSAN

The post Mah Sing raih RM617.9 juta jual tanah di Southville City appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved