liza20/08/2026 - 14:20 Southville City Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – Mah Sing Group Berhad memperoleh RM617.9 juta daripada penjualan kira-kira 31.88 hektar (78.8 ekar) tanah komersial di Mah Sing DC Hub @ Southville City.
Transaksi berkenaan mempercepatkan strategi kumpulan untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI), selain membuka peluang untuk Mah Sing membina sumber pertumbuhan baharu di luar pembangunan hartanah.
Tanah berkenaan dijual kepada WG Malaysia X Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh sebuah kumpulan infrastruktur digital antarabangsa, pada harga RM180 sekaki persegi.
Menurut Mah Sing, transaksi itu membuktikan nilai simpanan tanahnya yang sudah bersedia untuk pembangunan infrastruktur digital, selain membolehkan kumpulan mengitar semula modal kepada peluang bernilai lebih tinggi.
Transaksi tersebut turut mengukuhkan kedudukan Mah Sing DC Hub @ Southville City sebagai lokasi berpotensi untuk pelaburan infrastruktur digital berskala besar, khususnya bagi memenuhi permintaan terhadap kapasiti pusat data.
Beralih Kepada Infrastruktur Digital
Pembeli berkenaan mempunyai minat daripada pihak bersekutunya untuk membawa teknologi NeoCloud dan keupayaan pengkomputeran GPU NVIDIA bersama keupayaan pembangunan serta operasi pusat data bagi menyokong beban kerja AI berprestasi tinggi di Mah Sing DC Hub @ Southville City.
Menurut Mah Sing, perkembangan itu mengukuhkan potensi lokasi berkenaan sebagai ekosistem AI dan infrastruktur digital yang penting di Malaysia, selain menunjukkan permintaan terhadap kapasiti pusat data yang boleh ditingkatkan serta infrastruktur bekalan elektrik yang boleh dipercayai.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata transaksi itu menunjukkan keupayaan kumpulan mengenal pasti sektor pertumbuhan baharu lebih awal dan membuka nilai daripada simpanan tanahnya.
Beliau berkata infrastruktur digital merupakan peluasan semula jadi kepada keupayaan pembangunan Mah Sing dan kumpulan berhasrat menjadikannya sebagai enjin pertumbuhan kedua yang bermakna dari masa ke semasa.
Strategi Mah Sing dalam sektor itu berasaskan tiga pendekatan iaitu menjana nilai daripada tanah, membangunkan infrastruktur serta kemudahan pusat data dan secara terpilih memiliki aset infrastruktur digital yang menjana pendapatan bersama pengendali berpengalaman.
Membina Enjin Pertumbuhan Kedua
Mah Sing berkata perniagaan pembangunan hartanah kekal sebagai kekuatan utama dan asas pertumbuhan kumpulan, namun keupayaan dalam pemilikan tanah, pembangunan, penyampaian infrastruktur serta kerjasama strategik akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor infrastruktur digital.
Pendekatan itu membolehkan kumpulan menjana nilai daripada simpanan tanah secara terpilih, di samping mengitar semula modal untuk membina peluang pendapatan berulang dan pemilikan aset infrastruktur digital dalam jangka panjang.
Sementara itu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Mah Sing, Lionel Leong Jihn Haur berkata kumpulan melihat peluang kukuh untuk membawa pemain AI dan awan antarabangsa ke Malaysia berikutan permintaan terhadap infrastruktur pengkomputeran AI generasi baharu.
Beliau berkata pusat data merupakan asas penting kepada ekosistem infrastruktur AI yang lebih luas, manakala kerjasama dengan rakan teknologi dan infrastruktur antarabangsa membolehkan Mah Sing membina keupayaan baharu serta mengukuhkan kedudukannya dalam fasa seterusnya pertumbuhan infrastruktur digital.
Mah Sing juga mahu pembangunan itu memberi manfaat kepada syarikat dan tenaga kerja tempatan melalui kerjasama antara rakan teknologi antarabangsa, pemaju infrastruktur, kontraktor serta pembekal tempatan, termasuk peluang pemindahan teknologi dan pembangunan tenaga kerja tempatan.
Mengembangkan Aset Pusat Data
Selain menjana nilai melalui transaksi tanah berkenaan, Mah Sing merancang membangunkan sebuah pusat data di Mah Sing DC Hub @ Southville City melalui kerjasama strategik dengan pengendali pusat data berpengalaman.
Cadangan itu masih pada peringkat awal dan tertakluk kepada penilaian lanjut, namun pembangunan berkenaan akan menjadi satu lagi langkah Mah Sing untuk beralih daripada pembangunan tanah kepada pemilikan aset infrastruktur digital.
Mah Sing DC Hub @ Southville City terletak dalam kawasan Southville City seluas kira-kira 173.2 hektar (428 ekar) dan telah dirancang sebagai taman khusus untuk memenuhi keperluan pengendali pusat data berskala besar serta infrastruktur AI.
Kawasan itu mempunyai akses kepada infrastruktur bekalan elektrik dan air, sambungan gentian berkelajuan tinggi serta akses yang baik, sekali gus menyediakan asas untuk pembangunan infrastruktur digital berskala besar.
Selain itu, Mah Sing turut mengenal pasti peluang di Meridin East, Johor Bahru dan MS Industrial Park @ Kulai dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang berpotensi menyokong pembangunan pusat data berskala besar dan AI dalam beberapa fasa.- DagangNews.com






