
PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mencadangkan kerajaan menaikkan had kelayakan insentif pembiayaan rumah pertama daripada RM500,000 kepada RM600,000 bagi kawasan bandar berkos tinggi, terutamanya di Lembah Klang.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, saranan itu merupakan antara lima dasar utama yang dikemukakan syarikat kepada kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 17 Oktober ini.
Beliau berkata, langkah meluaskan akses pembiayaan berkenaan amat penting bagi membantu golongan profesional muda, pekerja ekonomi gig dan individu bekerja sendiri memiliki kediaman menerusi inisiatif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
“Bagi keutamaan lain, kami turut menyarankan kerajaan meningkatkan keupayaan memiliki kediaman melalui lanjutan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama serta memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC 3.0).
“Proses penyampaian perumahan juga perlu dipercepatkan menerusi pendigitalan penuh urusan perancangan dan kelulusan di peringkat agensi Persekutuan, negeri serta tempatan bagi mengurangkan kos pematuhan yang tidak perlu,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Mah Sing turut menekankan kepentingan memperkukuh perancangan bersepadu yang menghubungkan projek perumahan dengan utiliti, pengangkutan awam serta koridor ekonomi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Selain itu, kerajaan digesa menyokong pembentukan ekosistem perumahan kalis masa hadapan yang memanfaatkan teknologi digital dan kaedah pasang siap bagi mendepani cabaran kenaikan kos bahan binaan serta tenaga kerja.
“Kami berharap Belanjawan 2027 akan memperkenalkan dasar seimbang yang bukan sahaja meningkatkan keupayaan memiliki rumah, malah merangsang pelaburan sektor swasta untuk memacu daya tahan ekonomi nasional,” katanya.
Selain pembiayaan, Mah Sing turut menyokong penerusan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama yang layak serta mencadangkan pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah menerusi HOC 3.0 yang mengambil kira keadaan pasaran semasa dan menawarkan penjimatan kos yang bermakna kepada pembeli.
Kumpulan berpandangan pemilikan rumah perlu kekal sebagai keutamaan nasional, terutama bagi pembeli kali pertama, isi rumah muda dan kumpulan M40, manakala perumahan mampu milik kekal antara segmen permintaan paling kukuh dalam pasaran.
Mah Sing turut mencadangkan proses perancangan dan kelulusan pembangunan terus didigitalisasikan serta penyelarasan antara agensi Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan dipertingkat bagi mewujudkan proses kelulusan lebih boleh diramal, meningkatkan kepastian projek dan mempercepat penyerahan rumah kepada pembeli.
Dalam aspek perancangan, kumpulan mahu pembangunan perumahan diselaraskan dengan kemudahan pengangkutan, bekalan kuasa, air dan kemudahan komuniti, selain bekalan rumah masa depan dipandu pendekatan lebih berasaskan data supaya lokasi, jenis produk dan harga selari dengan permintaan pasaran sebenar.
Mah Sing turut menggesa perhatian dasar lebih besar diberikan kepada pembaharuan bandar apabila semakin banyak pembangunan matang berdepan proses penuaan, dengan rangka kerja yang lebih lancar diperlukan bagi memudahkan pembangunan semula sambil melindungi kepentingan pemilik sedia ada dan menggunakan tanah bandar secara lebih cekap. – UTUSAN
The post Mah Sing saran had insentif rumah pertama Lembah Klang dinaikkan RM600,000 appeared first on Utusan Malaysia.




