johardy14/08/2026 - 09:01 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Mah Sing Group Bhd menggesa kerajaan mempertimbangkan kenaikan had kelayakan bagi insentif pemilikan rumah pertama terpilih dan sokongan pembiayaan daripada RM500,000 kepada RM600,000 menerusi Bajet 2027, khususnya bagi hartanah di kawasan bandar berkos tinggi.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata cadangan itu sangat relevan di Lembah Klang, ketika akses kepada pembiayaan kekal antara halangan terbesar kepada rakyat Malaysia untuk memiliki rumah.
Beliau berkata golongan profesional muda, pekerja ekonomi gig, individu bekerja sendiri dan isi rumah yang mempunyai dokumentasi pendapatan tidak tetap biasanya mempunyai keupayaan membayar balik pinjaman, namun tidak memenuhi kriteria pinjaman konvensional.
Sehubungan itu, Mah Sing turut menggalakkan kerajaan terus memperkukuh inisiatif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi membantu meningkatkan akses kepada pembiayaan perumahan.
Leong berkata Bajet 2027, yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober, juga perlu terus menyokong pertumbuhan pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda dan isi rumah berpendapatan sederhana.
“Mah Sing percaya Bajet 2027 merupakan peluang tepat pada masanya untuk memperkenalkan langkah praktikal dan berpandangan jauh bagi memperkukuh ekosistem perumahan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kurangkan kos awal pembelian rumah
Leong berkata antara langkah yang memberi impak sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah pengecualian duti setem kepada pembeli rumah pertama, yang membantu mengurangkan kos pendahuluan pembelian rumah dan meningkatkan kemampuan pada peringkat awal pemilikan.
Beliau turut berharap Kempen Pemilikan Rumah (HOC) diperkenalkan semula bagi memberikan penjimatan kos, mengekalkan permintaan sihat daripada pembeli yang membeli untuk didiami sendiri serta memastikan kestabilan pasaran dalam jangka panjang.
Bagi mempercepatkan penyediaan perumahan, Leong menggesa usaha diteruskan untuk mengurangkan kos pematuhan yang tidak perlu, tanpa menjejaskan standard tadbir urus, menerusi pendigitalan dan proses kelulusan yang lebih cekap.
Menurutnya, penyelarasan rapat antara kelulusan perumahan, kesalinghubungan pengangkutan, bekalan elektrik dan air serta kemudahan komuniti dapat membantu mewujudkan komuniti yang dirancang dengan baik dan berdaya huni, selain meningkatkan kecekapan pembangunan.
Beliau berkata pengembangan berterusan infrastruktur pengangkutan dan koridor ekonomi, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menunjukkan bagaimana perancangan bersepadu boleh membuka kawasan pertumbuhan baharu dan mengukuhkan asas permintaan jangka panjang.
Leong berkata bekalan perumahan pada masa depan juga perlu dipandu pendekatan yang lebih berasaskan data supaya pembangunan sejajar dengan permintaan sebenar pasaran dari segi lokasi, jenis produk dan harga. - DagangNews.com


