Mahasiswa jadi suara kebijaksanaan bukan gema kebencian – Sultan Pahang

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 4:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mahasiswa jadi suara kebijaksanaan bukan gema kebencian – Sultan Pahang

PEKAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mahasiswa seharusnya menjadi suara kebijaksanaan dan bukannya gema kebencian.

Titah baginda janganlah kerana ghairah menyuarakan kebebasan sehingga terlupa akan batas kesopanan, kesusilaan dan tanggungjawab.

“Lebih mendukacitakan apabila ada segelintir anak muda yang mudah terpengaruh dengan budaya kebencian dan penghinaan terhadap agama serta institusi, seolah-olah keberanian itu diukur melalui kelantangan mencaci dan memperlekehkan orang lain.

“Beranilah menegur tetapi beradab ketika berbicara, beranilah berbeza pandangan tetapi jangan hilang pertimbangan,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Pemasyuran Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini hari ini.

Menurut baginda mahasiswa jangan sesekali mengabaikan pembinaan sahsiah dan kemuliaan budi.

Titah baginda ilmu tanpa adab ibarat pelita tanpa cahaya, tinggi ilmunya namun gelap pertimbangannya.

“Saya mahu institusi ini melahirkan bukan sekadar jurutera dan ahli teknologi yang bijaksana tetapi insan yang amanah, berintegriti dan berjiwa rakyat.

“Saya juga memandang serius gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda termasuk penyalahgunaan dadah, budaya buli, perjudian digital serta pergaulan bebas,” titah baginda.

Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan mahasiswa bahawa dunia ini sedang berdepan gelombang perubahan yang amat pantas.

Tegas baginda kemajuan teknologi dan media sosial membuka pintu pengetahuan, namun turut membawa arus fitnah, keruntuhan nilai dan kecelaruan pemikiran.

“Janganlah kerana mengejar populariti di alam maya, hilang pertimbangan di alam nyata,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Mahasiswa jadi suara kebijaksanaan bukan gema kebencian – Sultan Pahang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved