“Saya tak sangka Hasmah meninggal dunia hari ini (Isnin), beliau kelihatan agak sihat semalam,” kata Tun Dr Mahathir kepada Al-Sultan Abdullah (Sultan Pahang).
Berita pada pagi itu bukan sahaja mengejutkan keluarga, bahkan mengundang episod air mata kepada seluruh rakyat Malaysia pada 28 September 2026 yang lalu. Tarikh duka itu belum benar-benar mempersiapkan mantan Perdana Menteri Malaysia itu untuk kehilangan seorang isteri tercinta.
Menurut Mukhriz Mahathir, ibunya memberitahu bahawa dia sudah bersedia untuk meninggalkan ‘kita’ (ahli keluarga) semua. Setelah 7 tahun perkenalan bersama Tun Dr Mahathir, 70 tahun usia perkahwinan mereka, dan 7 orang anak, akhirnya beliau menghembus nafas terakhir kira-kira jam 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN).
Pada usia 100 tahun, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah meninggalkan banyak anekdot bersama rakan dan kenalan terdekat beliau. Namun tidak banyak yang diketahui rakyat Malaysia secara amnya. Sangat jarang orang bertanya siapa Hasmah? Sekali imbas, seolah-olah tidak banyak lembaran yang boleh menceritakan jasa dan sumbangan 'ibu negara' ini.
Namun buku ‘My Name is Hasmah’ yang terbit sepuluh tahun sebelum pemergian beliau, benar-benar mencengangkan saya tentang peranan besarnya terhadap pembangunan karakter seorang Perdana Menteri yang berkuasa selama 22 tahun, suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Allahyarhamah ada menceritakan tentang minat utama suaminya adalah pada politik, di samping banyak perancangan lain termasuk sebagai doktor perubatan. Hal ini umum diketahui melalui penglibatan awal Dr Mahathir sebagai penulis dengan gelaran C.H.E. Det seawal tahun 1947.
Dua tahun sebelum itu, Dr Mahathir menjadi setiausaha Kesatuan Melayu Kedah yang pertama ketika berumur 20 tahun. Setahun kemudian beliau terlibat dalam gerakan membangkitkan kesedaran orang Melayu menentang agenda Malayan Union 1946 dengan cara melukis, mencetak, dan menampal poster pada lewat malam bagi mengelak ditangkap oleh British.
Hanya apabila Dr Mahathir melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan pada tahun 1947, beliau mula mengenali Allahyarhamah, satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kalangan 87 lelaki di kolej perubatan King Edward VII, Singapura pada tahun itu.
Pada majlis makan malam tahunan Kesatuan Pelajar Islam, Dr Hasmah telah berucap bagi pihak para mahasiswa baharu. Selepas ucapannya, Onn Jaafar, Menteri Besar Johor ketika itu berkata bahawa beliau lebih mengagumi wanita Melayu pada masa kini berbanding lelaki. Menurutnya, wanita lebih progresif.
Bermula dari situ, Dr Mahathir dapat mengesan aspirasi dan keberanian luar biasa Allahyarhamah.
Kebetulan kedua-dua pasangan ini masing-masing memasang azam dan iltizam yang sama—mengangkat daulat tanah air, dan membangun semula struktur sosial orang-orang Melayu agar tidak lagi direndahkan dengan pemikiran cetek. Apalagi kedua-duanya pernah melalui perit derita akibat dari episod penjajahan yang panjang.
Menyedari perjuangan dalam politik memerlukan keberanian, Dr Mahathir mula terinspirasi dari kisah bagaimana isterinya mengatasi rasa takut ketika berusia seawal sembilan tahun. Dr Hasmah sebelum itu berasa sangat takut setiap kali terpandang sehelai selendang panjang berwarna jingga yang sering dibawa emaknya untuk upacara pengebumian.
Selendang itu digunakan untuk menutupi keranda mayat. Bayangan itu menghantuinya setiap hari. Suatu hari, Hasmah mengambil keputusan untuk mengatasi rasa takut itu. Selendang itu dililit, dibalut pada dirinya. Kemudian Hasmah duduk mendiamkan diri sehingga dia dapat merasakan ketakutan itu berlalu pergi. Hasmah berjaya mengatasi ketakutan itu.
Oleh kerana itulah Hasmah berkata beliau tidak merasa takut ketika berdepan dengan kursus anatomi menggunakan kadaver (mayat) pada tahun ketiga pengajiannya. Dr Mahathir pula hampir menggugurkan kursus yang sama akibat ketakutannya pada mayat. Pada mulanya beliau berkata “jika pelajar perempuan (seperti Hasmah) boleh melakukannya, dia juga boleh.”
Akhirnya Dr Mahathir meminta seorang kawan membawanya ke bilik anatomi, mengalihkan kain yang menutupi salah satu kadaver, meletakkan kedua-dua tangannya ke atas mayat tersebut. Seperti Hasmah, begitulah cara yang sama beliau mengatasi ketakutan.
Sejak dari itu, Dr Mahathir menemui formula yang sama seperti Dr Hasmah—jika inginkan sebuah keberanian, maka hendaklah kita berhadapan dengannya. Lari dari ketakutan, tidak membantu dalam perjuangan politik menentang kuasa besar dunia seperti British.
Tujuh tahun menjalani pasang surut perkenalan, akhirnya pernikahan dilangsungkan pada Ogos 1956. Menurut rakan-rakan keluarga, pasangan Mahathir dan Hasmah adalah pasangan ideal—sepasang doktor yang tidak pernah berselisih faham. Maka bermulalah peranan Dr Hasmah di sisi Dr Mahathir dalam politik, pentadbiran negara dan diplomasi antarabangsa.
Antara penglibatan awal Dr Hasmah secara tidak langsung adalah pada tahun 1964. Diceritakan oleh tokoh wartawan A. Kadir Jasin dalam tulisan beliau di Facebook baru-baru ini. Dr Mahathir yang ketika itu berusia 39 tahun hadir ke sebuah kampung di Pendang, Kedah untuk berkempen buat kali pertama dalam Pilihan Raya Umum tahun itu.
Kisah seorang isteri calon pergi ke dapur sebuah rumah orang kampung, mencedok air dari buyung (bekas air yang dibuat daripada tanah) dan meminumnya telah tular dan menjadi legenda yang membuka jalan kepada naratif sepasang doktor suami isteri dari bandar yang tidak jijik makan minum di rumah orang kampung.
Dr Mahathir berjaya mengalahkan penyandang dari parti PAS pada pilihan raya tahun itu dengan majoriti lebih empat ribu. Dr Hasmah berperanan besar dalam membuka jalan ke arah kemenangan suaminya, khusus dalam kalangan wanita.
Sejak kemenangan itu, semakin ramai yang mula bertanya siapa Dr Mahathir. Ini kerana beliau telah semakin berani menonjol sebagai jurucakap utama Parti Perikatan. Bahkan telah menjadi sebahagian daripada delegasi Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun berikutnya (1965).
Setahun selepas itu (1966), Dr Mahathir telah mula berani mengkritik Perdana Menteri Britain, Harold Wilson, dan mendakwanya ragu-ragu dalam krisis Rhodesia. Ketika itu Dr Mahathir berkhidmat sebagai pengerusi Pertubuhan Solidariti Rakyat Afro-Asia.
Beberapa hari selepasnya, di dalam Parlimen, Dr Mahathir mencadangkan pula nasionalisasi secara beransur-ansur bagi perniagaan import-eksport Malaysia sebagai langkah pertama mengurangkan kekayaan British di Malaya.
Serangan berani terhadap British semakin menggila selepas Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Paling diingati langkah Dawn Raid dan kempen Buy British Last pada tahun 1981. Sekitar 1984-1986, bangunan Carcosa pula dikembalikan semula kepada negara. Malaysia 'merdeka' sepenuhnya selepas itu.
Langkah berani Dr Mahathir diteruskan lagi hingga ke Bosnia, Palestin, negara-negara teluk dan tidak kurang juga tindakan menghambat keluar campur tangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam negara. Langkah itu sekaligus menyelamatkan Malaysia dari krisis kewangan Asia 1998 serta agenda orde baharu dunia.
Atau mungkin yang paling diingati hingga ke hari ini adalah langkah berani memecat Timbalan Presiden UMNO ketika itu, Anwar Ibrahim yang paling disebut-sebut bakal menggantikan beliau. Saya tidak fikir mana-mana Perdana Menteri seberani itu memecat orang paling popular dalam parti. Untuk itu, Dr Mahathir berani mempertaruhkan jawatannya dalam UMNO.
Antara tahun 1964 hingga 2003, Malaysia secara tiba-tiba bangkit dari kepungan British dan kuasa besar dunia, muncul sebagai negara berani paling pesat membangun di Asia. Masyarakat dunia mula memberi perhatian dan berteka-teki: Dari mana datangnya semua keberanian itu?
Jawapan kepada teka-teki itu telah diberikan oleh Dr Mahathir pada tahun 2001. Beliau menghantar isterinya mengetuai satu rombongan kemanusiaan ke Baghdad, Iraq. Dr Hasmah melakukannya ketika berusia 75 tahun dengan memimpin 15 wanita profesional, menyaksikan sendiri kesan sekatan ekonomi ke atas rakyat negara itu.
Salah satu detik keberanian yang paling ketara adalah apabila Dr Hasmah secara senyap-senyap mengikuti arahan pegawai Iraq untuk bertemu dengan Saddam Hussein secara seorang diri, tanpa pengetahuan anggota rombongan atau pengawal peribadinya.
Melalui peristiwa ini, Dr Mahathir sebenarnya ingin mengangkat keberanian Dr Hasmah di mata masyarakat dunia. Sambil memberi jawapan bahawa wanita itulah yang selama ini membekalkan sumber kekuatan dan keberanian kepada beliau sebagai Perdana Menteri.
Ia menggambarkan keberanian luar biasa seorang wanita yang sanggup mengambil risiko demi misi kemanusiaan, walaupun menyedari potensi bahaya yang mungkin dihadapinya dalam negara paling bergolak ketika itu.
Tanggal 28 September lalu merupakan detik permulaan kepada rakyat Malaysia mula mencari ‘Siapa Hasmah’. Pada ketika itulah buku yang terbit pada 2016 itu kembali menjadi antara rujukan bagi mengenali seorang Negarawati.
Barulah kita memahami mengapa pemergian seorang isteri bagi seorang negarawan berusia 101 tahun itu sarat dengan emosi. Ia tidak sekadar sebuah kesetiaan cinta yang panjang antara kedua-duanya. Ia bermula sebagai sebuah cerita tentang pencarian sebuah keberanian dalam perjuangan politik.
Lalu kedua-dua saling menemuinya melalui sebuah aspirasi, seterusnya sang isteri menyuntik pil-pil kekuatan. Maka lahirlah sebuah negara yang pada asalnya dipandang kerdil, namun akhirnya berjaya berdiri di bahu negara-negara gergasi.
Sebuah negara Malaysia yang berani, digeruni, dan dihormati. Lahir dari seorang ‘Ibu Negara’, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali—wanita yang menginspirasikan erti keberanian dan bagaimana mengatasi ketakutan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai suami, 'daddy' dan Perdana Menteri.
Semoga Allah S.W.T. menempatkan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dalam kalangan orang-orang beriman serta para syuhada.
-Al Fatihah-
“One thing that will happen in the future. Things will change. Even the most cherished thing will change. So enjoy yourself now.” —Dr Mahathir, 21 Ogos 2026
Amir Al Fateh (malaydigest@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.






