Mahasiswa Rugi Lebih RM100,000 Terpedaya Sindiket “Phone Scam”

LocalBusiness & Finance
1 Feb 2025 • 4:13 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Mahasiswa Rugi Lebih RM100,000 Terpedaya Sindiket “Phone Scam”

KUANTAN, 1 Feb (Bernama) — Seorang mahasiswa kerugian dianggarkan RM147,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak Shopee dan pegawai polis, bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 20 tahun itu menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak platform e-dagang tersebut yang memaklumkannya telah mengiklankan barangan menyalahi undang-undang, pada 23 Jan lepas.

Beliau berkata panggilan telefon mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai polis dan diberitahu turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Suspek meminta lelaki membuat pemindahan wang bagi mengelakkan ditangkap dan membersihkan rekod daripada kes jenayah. Mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM47,000 ke tiga akaun berbeza.

“Selain itu, mangsa turut menyerahkan barang kemas milik emaknya yang dianggarkan bernilai RM100,000 kepada seorang perempuan tidak dikenali berhampiran kawasan perumahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa mula menyedari ditipu apabila ibunya mempersoalkan kehilangan barangan kemas miliknya serta kekurangan wang simpanan dalam akaun banknya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan sebarang dakwaan menerusi panggilan telefon individu tidak dikenali, sebaliknya semak dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Sumber: Bernama