Mahasiswi dibebas, kertas siasatan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya

LocalPolitics
4 Sep 2025 • 12:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin mengesahkan mahasiswi universiti tempatan yang ditahan bagi siasatan berhubung ucapannya berunsur hasutan, telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa sekitar jam 7 malam.

Pengesahan itu dibuat susulan penahanan mahasiswi semester tiga sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di kawasan Batu 4 Jalan Apas di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari, Selasa.

“Kita sudah selesai menjalankan soal siasat terhadap suspek dan turut merakam percakapannya, termasuk tindakan lain, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Jasmin berkata setakat ini sebanyak 28 laporan polis telah diterima di seluruh Sabah daripada orang awam yang tidak bersetuju dengan kenyataan suspek, yang didakwa berbaur hasutan, khususnya berkaitan “keselamatan” Yang di-Pertua Negeri.

Beliau turut mendedahkan lebih 30 saksi telah dipanggil dan percakapan mereka dirakam terutama berkaitan ucapan suspek untuk membantu siasatan.

“Kita akan menyerahkan kertas siasatan kes ini kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selewat-lewatnya minggu hadapan bagi penilaian dan arahan lanjut.

“Polis mencadangkan suspek didakwa di bawah empat kertas pertuduhan iaitu Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (perbuatan menghasut), Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (menyebarkan khabar angin yang menimbulkan kegentaran awam) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (menyebarkan komunikasi berunsur ancaman melalui media sosial atau platform dalam talian),” katanya.

Menjawab pertanyaan Daily Express sama ada pembebasan suspek dibuat akibat desakan pihak tertentu, Jasmin menafikan dakwaan itu dan menegaskan pelepasan dibuat kerana soal siasat telah selesai.

Menurutnya, tiada keperluan untuk menahan reman suspek pada masa ini dan siasatan dijalankan secara profesional tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Kita akan tunggu arahan daripada TPR sama ada suspek akan dituduh di mahkamah atau sebaliknya. Apa yang pasti, siasatan akan disegerakan untuk dibawa ke prosedur seterusnya,” katanya.

Terdahulu, suspek dikaitkan dengan kenyataan kontroversi mengenai Yang di-Pertua Negeri Sabah ketika berpidato di hadapan ribuan peserta Himpunan Solidariti Rakyat - #JusticeForZara di pekarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) pada Ahad malam.