Pelajar wanita IPTA ditahan buat ucapan berbaur hasutan

LocalPolitics
3 Sep 2025 • 12:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Polis menahan seorang mahasiswi yang didakwa membuat ucapan berbaur hasutan semasa perhimpunan Himpunan Solidariti Justice For Zara” di Batu 4, Jalan Apas, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata pelajar berusia 23 tahun yang kini berada di semester tiga pengajiannya di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan di ibu negeri, ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Katanya, tangkapan dibuat selepas polis menerima 14 laporan berhubung ucapannya yang dikatakan menyentuh kedudukan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.

“Siasatan awal mendapati wanita terbabit antara yang diberi peluang berucap ketika perhimpunan berkenaan. Ucapannya dipercayai mengandungi unsur hasutan terhadap Yang di-Pertua Negeri sehingga menimbulkan keresahan awam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jasmin berkata, polis turut memanggil beberapa saksi lain bagi membantu siasatan dan memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara telus mengikut prosedur undang-undang.

Beliau berkata polis sedia bertolak ansur dengan penganjuran perhimpunan awam namun pihak terlibat perlu memastikan tindakan dan ucapan mereka tidak mengandungi elemen kegemparan yang menimbulkan kegentaran dan kebimbangan orang ramai.

“Silakan mengkritik tetapi jangan sampai mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur hasutan dan ancaman atau ugutan, misalnya laporan polis yang sangat banyak diterima berkaitan kes ini juga menunjukkan ramai yang bimbang dengan kesan ucapan sebegini,” katanya.

Terdahulu, ribuan warga Tawau menyertai perarakan Himpunan Solidariti Rakyat dan Perarakan Besar - #JusticeForZara anjuran sebuah pertubuhan anak muda, yang bermula dari kawasan Masjid Waqaf Ahmad Bin Daing Mapata sebelum berkumpul di pekarangan Majlis Perbandaran Tawau.