MAHB catat untung bersih RM58.2 juta bagi suku kedua berturut-turut

Business & Finance
30 May 2023 • 6:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAHB catat untung bersih RM58.2 juta bagi suku kedua berturut-turut

diyana

30/05/2023 - 18:02

KUALA LUMPUR 30 Mei - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM58.2 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), suku kedua berturut-turut selepas kerugian sejak pandemik.

Kos kewangan lebih rendah dan prestasi syarikat bersekutu dan usaha sama yang lebih baik telah mendorong kumpulan kembali mencatat untung bersih RM58.2 juta berbanding kerugian RM104.8 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22).

Pendapatan kumpulan dalam suku dalam tinjauan melonjak 81.2% kepada RM1.03 bilion berbanding RM570.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut kumpulan itu, pendapatan sebelum cukai faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan meningkat kepada RM441.9 juta daripada RM186.9 juta setahun lalu, dipacu oleh trafik penumpang antarabangsa yang meningkat lebih tiga kali ganda berbanding 1QFY22 berikutan pembukaan semula sempadan Malaysia pada April 2022.

“Operasi kumpulan di Malaysia menyaksikan 18.7 juta pergerakan penumpang pada 1QFY23, peningkatan dua kali ganda daripada 1QFY22, dengan pemulihan keseluruhan 73.7% berbanding tahap pra-pandemi.

“Sementara itu, operasi Türkiye menyaksikan peningkatan sebanyak 25.4% dalam pergerakan penumpang daripada 1QFY22 kepada 8.1 juta, terutamanya didorong oleh pertumbuhan 34.4% dalam pergerakan penumpang antarabangsa, walaupun gempa bumi berlaku di Türkiye Tenggara pada bulan Februari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kos teras bagi setiap penumpang pula bertambah baik kepada RM16.50 berbanding RM23.20 pada 1QFY22 disebabkan usaha berterusan kumpulan menguruskan kos serta meningkatkan kecekapan dan produktiviti, yang turut meningkatakan EBITDA lebih dua kali ganda kepada RM441.9 juta daripada RM186.9 juta setahun lalu.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata kumpulan itu yakin akan kembali kepada pertambahan nilai yang mampan di kedua-dua operasi Malaysia dan Turki dalam tempoh terdekat, bersama-sama dengan pemodenan lapangan terbang yang berterusan, pendigitalan dan pemulihan komersil di seluruh rangkaian lapangan terbangnya.

image is not available
Datuk Iskandar Mizal Mahmood

“Selepas tempoh kemerosotan yang mencabar akibat pandemik, masa hadapan kini kelihatan jauh lebih cerah dan kami memberi tumpuan untuk membuat kemunculan semula yang kukuh.

“Kami akan menambah baik tawaran perkhidmatan merentasi rangkaian lapangan terbang kami dan meningkatkan kecekapan kos bagi memacu lapangan terbang kami kembali ke kedudukan global,” tambah beliau. -DagangNews.com