Pecca catat untung bersih RM8.56 juta pada 3QFY23 didorong pertumbuhan permintaan industri automotif
diyana
30/05/2023 - 18:24
KUALA LUMPUR 30 Mei - Pembuat upholsteri automotif, Pecca Group Berhad telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM8.56 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), peningkatan 6% daripada RM8.09 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan dalam suku semasa telah melonjak 28% kepada RM58.6 juta berbanding RM45.7 juta pada suku ketiga 2022 (3QFY22), menjadikannya suku terbaik dalam rekod kumpulan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pecca berkata dengan margin keuntungan bersih dua angka sebanyak 14.6% pada suku ketiga, kumpulan itu yakin momentum pertumbuhan akan berterusan pada suku akan datang.
“Ini memandangkan pelanggan automotif utama Pecca termasuk Perodua, Toyota, Proton, Nissan, Mitsubishi, Peugeot dan Volkswagen menyaksikan tempahan kereta yang semakin kukuh justeru kumpulan menjangka untuk terus mengharungi gelombang pertumbuhan permintaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), Pecca telah mencatat keuntungan bersih RM25.32 juta, meningkat 73% tahun ke tahun daripada RM14.60 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, didorong oleh peningkatan pendapatan sebanyak 47% kepada RM166.93 juta.
Mengulas lanjut mengenai 3QFY23, Pecca berkata pendapatannya didorong oleh permintaan untuk upholsteri sarung kerusi kereta, jahitan dan pembekalan sarung aksesori kereta bersama-sama dengan penyediaan perkhidmatan pembalut dan jahitan.
“Setiap subsegmen masing-masing menyumbang kira-kira 91%, 4% dan 3% daripada jumlah pendapatan. Segmen tempat duduk kereta kulit pengilang peralatan asal (OEM) menyumbang kira-kira 86% daripada jumlah pendapataa, manakala segmen pengilang peralatan gantian (REM) dan pemeriksaan pra-penghantaran (PDI) masing-masing menyumbang kira-kira 3% dan 11%.
Ketua Pegawai Eksekutif, Foo Ken Nee berkata kumpulan itu mengekalkan kedudukan sebagai pembekal pilihan bagi syarikat automotif global dan tempatan di samping melihat lebih banyak ruang untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia dan seluruh rantau.

“Kami juga sangat teruja dengan apa yang akan berlaku untuk perniagaan penerbangan Pecca, yang pada masa ini hanya memberi sumbangan kecil kepada pendapatan kami.
“Pensijilan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) yang diperoleh baru-baru ini akan membantu mengembangkan perniagaan ini sebagai salah satu penyumbang utama strategik kami, memandangkan upholsteri pesawat memberikan harga dan margin yang lebih baik, berbanding industri automotif,” katanya.
Dengan Pecca Aviation kini layak untuk berkhidmat kepada pesawat berdaftar EASA, Ken Nee berkata kumpulan itu boleh memanfaatkan pangkalan pelanggan domestik dan global yang lebih luas. -DagangNews.com
