
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan kubur kadet Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin, digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan, proses penggalian semula itu perlu dilakukan di bawah seliaan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Khalid Ismail.
Arah Buphinder lagi, ia perlu dilaksanakan dalam tempoh 14 hari selepas tarikh yang ditetapkan.
Menurut beliau, tarikh dan masa tepat penggalian semula akan diputuskan oleh KPN dengan mengambil kira pandangan pihak berkuasa agama.
Perintah tersebut dikeluarkan selepas ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, memfailkan permohonan untuk mendapatkan keadilan atas kematian anak sulungnya yang berusia 22 tahun semasa menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur (Pulada), Ulu Tiram, Johor, pada 28 Julai lalu.
Ummu Haiman yang kelihatan sebak selepas prosiding mahkamah berkata, mereka sekeluarga hanya mahukan kebenaran atas apa yang berlaku ke atas Allahyarham.
“Kami hanya mahukan kebenaran tentang apa yang berlaku ke atas anak saya.
“Saya berharap keputusan bedah siasat kali ini tepat, telus dan tidak melindungi mana-mana ptanpa sebarang perlindungan kepada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau yang juga seorang guru turut merakamkan penghargaan kepada mahkamah dan kerajaan kerana meluluskan permohonan tersebut, namun menegaskan usaha itu hanyalah permulaan sebelum memutuskan langkah seterusnya.
Sementara itu, peguam keluarga, Datuk Naran Singh, ketika ditemui berkata, beberapa persiapan logistik perlu dilakukan sebelum penggalian semula kubur dibuat, termasuk prosedur dengan pihak berkuasa agama.
“Jika penggalian semula dibuat pada hari Jumaat, bedah siasat perlu dilaksanakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh tersebut,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, siasatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia tidak menemukan sebarang bukti penderaan atau salah laku sepanjang latihan yang berlangsung dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu.
Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan akan menjalankan siasatan lebih mendalam berhubung kematian kadet tersebut.
Syamsul Haris merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Sebelum ini Ummu Haiman dipetik sebagai berkata, satu-satunya tujuan beliau memohon penggalian semula adalah untuk merungkai punca sebenar pemergian anaknya.
Allahyarham Syamsul Haris dikebumikan 29 Julai lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor. - Getaran, 26 Ogos 2025
