
WASHINGTON: Mahkamah rayuan mengekalkan perintah supaya kerja pembinaan dewan tari yang menjadi projek kebanggaan Donald Trump di Rumah Putih dihentikan, sekali gus membangkitkan kemarahan beliau dan membuka laluan kepada satu lagi pertikaian di Mahkamah Agung mengenai had kuasa presiden.
Mahkamah Rayuan AS bagi Litar Daerah Columbia yang sebelum ini membenarkan pembinaan diteruskan sementara kes itu dipertimbangkan, bersetuju dengan mahkamah lebih rendah bahawa pengubahsuaian besar-besaran Rumah Putih itu memerlukan kelulusan jelas daripada Kongres.
Mahkamah menangguhkan pelaksanaan keputusannya sendiri selama dua minggu bagi memberi masa kepada Trump untuk meminta Mahkamah Agung campur tangan.
Presiden Republikan itu mengecam keputusan majoriti 2-1 berkenaan, menyifatkannya sebagai amat teruk, bermotifkan politik dan menyalahi undang-undang.
Dua hakim yang membentuk majoriti dilantik oleh presiden daripada Parti Demokrat, manakala hakim yang tidak bersetuju dengan keputusan itu dicalonkan oleh Trump sendiri.
Trump berikrar dalam hantaran panjang di media sosial untuk segera membawa rayuan itu ke Mahkamah Agung.
“Keputusan ini, yang dibuat selepas sebahagian besar kerja telah dilakukan dan dibayar, merupakan Ancaman Keselamatan Negara pada tahap tertinggi. Ia juga merupakan aib negara,” kata Trump dalam satu lagi hantaran di platform Truth Social miliknya pada malam Jumaat.
Trump pada awalnya menyifatkan pembinaan dewan itu sebagai perlu bagi menganjurkan majlis gala, namun sejak itu beliau berulang kali menekankan pembinaan serentak sebuah bunker tentera bawah tanah serta ciri keselamatan lain.
Di bawah perintah awal hakim mahkamah daerah, kerja pembinaan hanya dibenarkan diteruskan bagi struktur tertentu, termasuk bahagian yang berada di bawah tanah.
Trump, yang berulang kali mengadu Rumah Putih tidak mempunyai ruang mencukupi untuk majlis gala besar seperti jamuan negara, mengarahkan pembinaan dewan berkenaan secara unilateral.
Kerja projek itu bermula tahun lalu dengan perobohan secara mengejut seluruh Sayap Timur bersejarah Rumah Putih.
Sejak itu, beberapa gambar menunjukkan kerja besar-besaran sedang dijalankan bagi membina kompleks di tingkat bawah tanah, dengan sebahagian dinding konkrit sudah muncul di atas permukaan tanah.
Trump menegaskan dewan itu akan dibiayai oleh pihak swasta, namun laporan media pada Jun menunjukkan sejumlah besar wang pembayar cukai digunakan untuk projek berkenaan dengan kosnya mungkin mencecah AS$600 juta (RM2.4 bilion).-AFP
The post Mahkamah AS arah hentikan pembinaan dewan tari Trump appeared first on Utusan Malaysia.

