Rayuan pertikaian tanah Rawang Perdana dibatalkan

7 Aug 2026 • 5:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rayuan pertikaian tanah Rawang Perdana dibatalkan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan oleh Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswaraman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung inkuiri aduan berkaitan isu pertikaian tanah di Rawang Perdana.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai hakim Datuk Noorin Badaruddin bersama-sama Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebulat suara membuat keputusan itu selepas persatuan berkenaan menarik balik rayuan terbabit.

Mahkamah kemudian turut memerintahkan persatuan itu membayar kos berjumlah RM10,000 kepada Yayasan Kubra selaku responden.

Perkara itu disahkan oleh peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff ketika dihubungi media hari ini.

Yayasan Kubra pada 31 Mac lalu berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengetepikan perintah awalan dikeluarkan Mahkamah Majistret Selayang.

Perintah mahkamah rendah itu adalah supaya satu siasatan dijalankan berhubung aduan mengenai sebuah kuil yang tidak dikawal selia di Rawang, selepas meneliti isu pertikaian tanah dan kemungkinan berlaku gangguan ketenteraman awam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Suriyati Hasimah Mohd Hashim mengetepikan perintah awal Mahkamah Majistret selepas membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan oleh Yayasan Kubra.

Dengan perkembangan hari ini, keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan perintah Mahkamah Majistret Selayang itu, adalah muktamad sepenuhnya.

Pada prosiding hari ini, peguam Amanda Sonia Mathew yang mewakili persatuan memaklumkan, bahawa beliau mendapat arahan anak guamnya untuk menarik balik rayuan berkenaan tanpa kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.

Bagaimanapun, Muhammad Hariz membantah perkara itu dengan menyatakan bahawa kerja-kerja guaman telah dibuat sepenuhnya termasuk memfailkan Notis Usul, Afidavit Sokongan bagi membatalkan Rayuan dan hujahan bertulis bagi pihak Yayasan Kubra serta surat ancaman menghalang Yayasan Kubra daripada menjalankan sebarang aktiviti yayasan di atas tanah milik Yayasan Kubra.

Ia bermula dari tarikh Notis Rayuan difailkan oleh persatuan itu sejak Mac 2026 hingga Ogos 2026 sekaligus memberi prejudis yang serius dan teruk kepada Yayasan Kubra, yang mewajarkan kurniaan perintah terhadap kos.

Selain Muhammad Hariz, yayasan turut diwakili barisan peguam terdiri daripada peguam utama, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Arham Rahimy Hariri, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md. Rofiee, Danial Farhan Zainul Rijal, Muhammad Iz’aan Azalan dan Nur Syafiqah Shafiyah Omar.

Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Majistret Selayang memutuskan, wujud pertikaian berkaitan status pemilikan tanah yang menempatkan binaan kuil yang tidak dikawal selia.

Majistret Chai Guan Hock mengarahkan kedua-dua pihak terbabit dalam pertikaian itu hadir ke mahkamah bagi satu siasatan mengikut Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Majistret turut meminta mereka mengemukakan kenyataan bertulis mengenai pemilikan sebenar tanah yang dipertikaikan.

Majistret juga memerintahkan, salinan perintah disampaikan kepada pihak-pihak yang dinamakan dalam kes saman tersebut menurut KTJ.

Katanya, salinan perintah perlu dipamerkan di tanah berkenaan, iaitu di kawasan Rawang Perdana 2. – UTUSAN

The post Rayuan pertikaian tanah Rawang Perdana dibatalkan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved