KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggugurkan perkataan ‘menerima’ dalam pertuduhan kes rasuah projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion, dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Hakim, Azura Alwi berkata, mahkamah berpandangan pindaan tersebut perlu bagi memastikan pertuduhan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Walaupun pindaan tersebut hanya dikemukakan pada peringkat akhir kes pendakwaan, namun mahkamah berpandangan perkara tersebut tidak akan memprejudiskan dan mendatangkan sebarang ketidakadilan terhadap tertuduh.
“Semua pihak mempunyai hak di bawah Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) untuk memanggil semula mana-mana saksi yang wajar berikutan pindaan pertuduhan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan tersebut selaras dengan Seksyen 158 CPC.
Jurubahasa kemudiannya membacakan semula pertuduhan tersebut yang mana perkataan ‘menerima’ telah dibuang.
"Ya saya faham pertuduhan, minta dibicarakan," kata Penasihat DAP itu.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 66, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk suapan RM3.3 juta.
Ia bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri itu, bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan bersambung dengan saksi pendakwaan ke-38, Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat SPRM, Zulhilmi Ramli memberi keterangan.






