KUALA LUMPUR – Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa, meskipun tiada ‘jejak wang’, ia tidak menjejaskan siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion, dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat SPRM, Zulhilmi Ramli, 34, berkata demikian ketika perbicaraan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Semasa pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menyoal sama ada saksi pendakwaan ke-38 itu mengetahui isu ketiadaan aliran wang dalam kes berkenaan, di media sosial.
Zulhilmi: Saya ada baca mengenai isu itu.
Pendakwaan: Dalam kes dihadapi Guan Eng ini, ada tak jejak wang?
Zulhilmi: Tiada.
Pendakwaan: Adakah ia jejaskan kes tuan?
Zulhilmi: Tidak, kerana siasatan mendapati pembayaran berjumlah RM3.3 juta kepada tertuduh dibuat secara tunai dan bukan melalui pemindahan ke akaun bank tertuduh.
Beliau berkata, keterangan itu diperoleh semasa rakam percakapan daripada saksi utama, Pengarah Syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 67.
Katanya, ia kemudian disokong saksi lain termasuk Ahli perniagaan, Datuk Seri G Gnanaraja dan dua saksi pendakwaan lain.
Menurutnya, semua saksi itu mengesahkan berlaku pengeluaran wang serta pertemuan antara Zarul dan tertuduh di pejabatnya.
“Siasatan juga berdasarkan dokumen yang diperoleh selain disokong laporan forensik termasuk gambar menunjukkan pertemuan di dalam kereta dan di rumah.
“Siasatan saya mendapati semua wang yang diberikan kepada tertuduh dibuat secara tunai, maka kurang bijak sekiranya tertuduh sendiri memasukkan duit yang diterima ke akaun sendiri,” katanya.
Wan Shaharuddin yang Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II kemudian menyentuh hujahan pembelaan kepada bekas Pengerusi DAP yang mengatakan Gnanaraja seorang penipu.
Pendakwaan: Mengapa SPRM masih memilih Gnanaraja untuk memberi keterangan menjadi saksi dalam kes ini?
Zulhilmi: Saya mengambil kira maklumat oleh Gnanaraja, berkaitan pemberian wang kepada tertuduh berjumlah RM2 juta.
Menurutnya, keterangan itu selari dan disokong oleh Zarul yang mengakui serta mengesahkan terdapat penyerahan empat beg berisi wang tunai, masing-masing berjumlah RM1 juta.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan Datuk Zarul pada hujung 2019 dan rekod percakapan Gnanaraja sekitar pertengahan 2020, kedua-duanya mengesahkan penyerahan wang yang sama.
Wan Shaharuddin: Itu alasan pihak SPRM masih bergantung kepada keterangan Gnanaraja?
Zulhilmi: Betul.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 66, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk suapan RM3.3 juta.
Ia bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri itu, bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan bersambung 14 Mei depan.






