
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner masih belum membuat keputusan sama ada kakak tiri kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akan dipanggil sebagai saksi dalam inkues kematiannya dengan keputusan mengenai perkara itu dijangka dibuat pada prosiding akan datang pada Julai.
Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata buat masa ini tiada keperluan mendesak untuk memanggil deponen berkenaan dan memaklumkan perkara itu boleh dipertimbangkan semula selepas mahkamah mendengar keterangan daripada ibu Zara, Noraidah Lamat.
Isu tersebut timbul susulan kekeliruan sama ada kakak tiri Zara akan dipanggil memberi keterangan pada prosiding Isnin yang akhirnya dikosongkan kerana tiada deponen hadir.
Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya menerima arahan daripada pihak atasan untuk memanggil kakak tiri Zara sebagai saksi dalam inkues berkenaan.
Bagaimanapun beliau berkata pasukannya masih menunggu arahan Koroner sebelum mengatur kehadiran deponen tersebut.
Peguam Shahlan Jufri yang mengetuai pasukan peguam bagi pihak Noraidah berpandangan tiada keperluan untuk memanggil kakak tiri Zara kerana individu itu hanya tinggal bersama ibu Zara selama kira-kira sebulan ketika Noraidah mengandungkan Zara.
Menurutnya keterangan kakak tiri tersebut tidak banyak dapat membantu Koroner memandangkan keterangan Pakar Psikiatri Forensik Perunding yang telah direkodkan sudah memadai terutama kerana Noraidah merupakan antara individu yang ditemu bual oleh pakar berkenaan.
Peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili bapa Zara, Mahathir Mohd Hashim turut berkongsi pandangan sama.
Sebaliknya peguam Datuk Ram Singh dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah yang mewakili beberapa pelajar yang dikaitkan dengan kes itu menyokong agar kakak tiri Zara dipanggil sebagai deponen.
Amir Shah menetapkan tarikh 13 hingga 17 Julai, 24 hingga 28 Ogos, 7 hingga 11 September serta 5 hingga 23 Oktober untuk prosiding seterusnya sambil menyatakan mahkamah berharap dapat menamatkan inkues tersebut dalam tempoh berkenaan.
Inkues itu bersambung Selasa (23 Jun) dengan keterangan deponen pakar yang dikemukakan oleh pasukan peguam Noraidah.






