Mahkamah lepas & bebaskan Rosmah dari 17 tuduhan pengubahan wang haram, elak cukai

LocalPolitics
19 Dec 2024 • 10:50 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor dari 17 tuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu, dibebaskan daripada 12 tuduhan membabitkan pengubahan wang haram lebih RM7 juta serta lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati tuduhan terhadap Rosmah tidak berasas, dan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti kukuh untuk menyokong dakwaan tersebut.

Tuduhan berkaitan pengubahan wang haram dikenakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, tuduhan berkaitan cukai dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, melibatkan kegagalan Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Affin Bank Berhad, Jalan Ampang, antara 2013 hingga 2017, serta di pejabat LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, pada tempoh 2014 hingga 2018.

Dalam hujahnya, Rosmah menyatakan bahawa tuduhan ini memberi kesan kepada kualiti hidupnya dan mendakwa wujud ketidakadilan prosedur. Bagaimanapun, pihak pendakwaan bertegas bahawa tuduhan adalah sah dan maklumat yang diberikan mencukupi untuk pembelaan.

Peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes ini pada Ogos lalu, dengan proses dokumentasi dimuktamadkan sebelum keputusan mahkamah hari ini diumumkan.