Mahkamah: Pembantu jurujual didakwa tipu pakej umrah RM35,736

25 Sep 2026 • 3:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Mahkamah: Pembantu jurujual didakwa tipu pakej umrah RM35,736

BALIK PULAU, 25 SEPT: Seorang pembantu jurujual kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu membabitkan pakej umrah persendirian bernilai RM35,736, tahun lepas.

Syed Syafiq Syed Azhar, 38, didakwa memperdayakan mangsa dengan membuat representasi palsu bahawa dia boleh menyediakan dan menguruskan pakej itu meliputi penerbangan pergi balik serta penginapan di Makkah dan Madinah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM35,736 melalui akaun syarikat didaftarkan atas nama tertuduh.

Kesalahan didakwa dilakukan pada Februari 2025 di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sofi Jaafar memohon jaminan RM12,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Peguam daripada Yayasan Biro Guaman Kebangsaan Hazarul Iqram Rozahan memohon jaminan minimum atas alasan pendapatan anak guamnya yang berstatus duda ialah kira-kira RM3,000 sebulan dan mempunyai seorang anak.

Majistret Chia Huey Ting membenarkan jaminan RM7,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Nov untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved