
BALIK PULAU – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu berhubung pakej umrah persendirian sehingga mangsa mengalami kerugian RM35,736, tahun lalu.
Tertuduh, Syed Syafiq Syed Azhar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pembantu jurujual kedai emas didakwa dengan curangnya memperdayakan pengadu dengan membuat representasi bahawa dia boleh menyediakan dan menguruskan pakej umrah persendirian merangkumi penerbangan pergi dan balik serta penginapan di Mekah dan Madinah.
Bagaimanapun, representasi itu didakwa palsu dan tidak benar sehingga mendorong pengadu menyerahkan wang berjumlah RM35,736 kepada tertuduh melalui akaun Bank Islam atas nama syarikat Fique Legacy yang didaftarkan atas namanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah alamat di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini, sekitar Februari 2025 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, tertuduh menjalankan aktiviti perkhidmatan pakej pelancongan umrah persendirian tanpa lesen sah daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta tidak mempunyai lesen Syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Lembaga Tabung Haji (TH).
Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hazarul Iqram Rozahan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar.
Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya adalah seorang duda yang mempunyai seorang anak.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM7,500 dengan seorang penjamin. Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 19 November depan. – KOSMO! ONLINE
The post Duda tak mengaku tipu pakej umrah persendirian appeared first on Kosmo Online.






