
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa tindakan Menteri Kesihatan dan kerajaan mengecualikan cecair serta gel vape yang mengandungi nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 sebagai tidak rasional.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Aliza Sulaiman, yang kini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Malaysian Council for Tobacco Control (MCTC), Malaysian Green Lung Association (MGLA) dan Voices of Children (VOC).
Mahkamah turut memutuskan bahawa pengecualian tersebut dibuat tanpa rundingan mencukupi dengan Lembaga Racun, sekali gus bercanggah dengan Seksyen 6 Akta Racun 1952.
Dalam penghakimannya, Aliza berkata, mahkamah mendapati keputusan untuk mengecualikan nikotin dalam cecair dan gel vape dibuat atas faktor ekonomi bagi membolehkan kerajaan mengenakan cukai eksais terhadap produk berkenaan.
Menurut beliau, walaupun kerajaan mengakui rokok elektronik dan vape memberi kesan buruk terhadap kesihatan serta mempunyai tanggungjawab untuk mengawal penggunaannya, pengecualian itu tetap diteruskan oleh Menteri Kesihatan dan kerajaan selaku responden pertama dan kedua.
“Mahkamah berpuas hati bahawa keputusan responden pertama untuk memberikan pengecualian itu didorong terutamanya oleh faktor ekonomi sebelum pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
“Oleh itu, keputusan tersebut adalah tidak rasional,” katanya dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini.
Pada 14 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan ketiga-tiga NGO berkenaan memulakan semakan kehakiman terhadap Kementerian Kesihatan dan kerajaan.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada 30 Jun 2023 bagi membatalkan sebahagian daripada Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) yang diwartakan pada 31 Mac 2023.
Pindaan tersebut melibatkan pengecualian nikotin dalam cecair dan gel vape daripada senarai racun sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 diluluskan bagi mengawal penjualan produk merokok, termasuk vape dan rokok elektronik, kepada individu di bawah 18 tahun.
Keputusan mahkamah itu dilihat sebagai cabaran undang-undang penting terhadap pendekatan kerajaan dalam mengawal selia serta mengenakan cukai ke atas produk vape nikotin, yang sebelum ini menerima perhatian meluas daripada kumpulan kesihatan awam dan pemain industri.
Pada 1 April 2023, Kementerian Kesihatan menerbitkan notis warta menyatakan cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik dan produk vape diberikan pengecualian daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952. - Getaran, 15 Mei 2026

