KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memutuskan bahawa keputusan Menteri Kesihatan dan kerajaan mengecualikan cecair serta gel vape mengandungi nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 sebagai tidak rasional.
Hakim, Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Mereka ialah Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of Children (VOC).
Mahkamah turut mengisytiharkan bahawa pengecualian itu dibuat tanpa rundingan yang mencukupi dengan Lembaga Racun dan ia bertentangan dengan Seksyen 6 Akta Racun 1952.
Semasa menyampaikan keputusan, Aliza berkata, Menteri Kesihatan ketika itu terkhilaf kerana tidak berunding dengan Lembaga Racun sebelum Kabinet meluluskan untuk menyah cecair nikotin daripada senarai bahan terkawal.
Beliau berkata, mahkamah mendapati keputusan mengecualikan nikotin dalam cecair dan gel vape dibuat atas faktor ekonomi bagi membolehkan kerajaan mengenakan cukai eksais terhadap produk berkenaan.
Menurutnya, walaupun kerajaan mengakui rokok elektronik dan vape berbahaya kepada kesihatan serta mempunyai tanggungjawab mengawal penggunaannya, namun Menteri Kesihatan dan Kerajaan masing-masing responden pertama dan kedua tetap meneruskan perkara tersebut.
“Mahkamah berpuas hati bahawa keputusan responden pertama membuat pengecualian itu didorong terutamanya oleh faktor ekonomi sebelum pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
“Justeru, keputusan itu adalah tidak rasional,” katanya ketika prosiding dibuat secara dalam talian.
Beliau berkata, kerajaan menyedari rokok elektronik dan cecair vape berbahaya kepada kesihatan, serta Malaysia mempunyai obligasi untuk mengawal selia dan mengehadkan pembekalan, penjualan dan penggunaannya.
Bagaimanapun, mahkamah berpuas hati, responden pertama tetap meneruskan perintah berkenaan bagi memberi kesan kepada keputusan berhubung percukaian.
Berhubung isu rundingan, mahkamah memutuskan bahawa rundingan dengan Lembaga Racun di bawah Seksyen 6 Akta Racun bukan sekadar mandatori, sebaliknya perlu dibuat secara sedar, bermakna, bertujuan dan berkesan.
Bagaimanapun katanya, dalam kes tersebut tiada pertemuan fizikal antara responden pertama dan Lembaga Racun.
“Selepas keputusan sebulat suara Lembaga Racun dimaklumkan kepada responden pertama, tiada perbincangan lanjut atau pertukaran pandangan dibuat,'' ujar beliau.
Sehubungan itu, mahkamah membenarkan deklarasi yang dipohon di bawah relif berkenaan tanpa perintah terhadap kos.
Beliau berkata, bukti dalam afidavit responden menunjukkan isu itu dibuat susulan cadangan Kementerian Kewangan untuk mengenakan cukai eksais terhadap produk vape dan rokok elektronik mengandungi nikotin dalam Belanjawan 2023.
Menurutnya, Kementerian Kewangan kemudian memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan bahawa langkah melegalkan cecair dan gel nikotin membolehkan cukai dikenakan ke atas produk berkenaan dan hasil kutipan disalurkan kepada inisiatif kesihatan.
Dalam penghakimannya, Aliza turut memutuskan bahawa rundingan dengan Lembaga Racun sebelum pengecualian dibuat hanyalah formaliti semata-mata.
“Tiada perbincangan bermakna atau pertukaran pandangan berlaku antara Menteri Kesihatan dan Lembaga Racun sebelum keputusan dibuat.
“Bukan itu sahaja, keputusan untuk mengenakan cukai eksais telah dibuat lebih awal dan pengecualian itu seolah-olah sudah menjadi keputusan muktamad,” katanya.
Mahkamah juga menerima hujahan pemohon bahawa isu tersebut mewujudkan kelompongan undang-undang selama satu tahun tujuh bulan sehingga Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.
Aliza berkata, sepanjang tempoh itu, produk vape dan rokok elektronik mengandungi nikotin tidak dikawal secara menyeluruh.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat sebarang keputusan berhubung cabaran terhadap keabsahan Seksyen 6 akta itu kerana isu pertama dan kedua sudah mencukupi untuk melupuskan permohonan semakan kehakiman berkenaan.
Tiada perintah mengenai kos kerana permohonan itu difailkan demi kepentingan awam.
Peguam, K Shanmuga mewakili ketiga-tiga NGO selaku pemohon terbabit manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan mewakili responden pertama dan kedua.
Sebelum ini, pihak pemohon berhujahkan bahawa, pengecualian itu secara berkesan membenarkan rokok elektronik dan produk vape bernikotin dijual secara bebas tanpa sekatan, termasuk kepada remaja berusia bawah 18 tahun.
Pada 14 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan pemohon memulakan semakan kehakiman terhadap Kementerian Kesihatan dan kerajaan.
Ketiga-tiga NGO itu memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 30 Jun 2023 bagi membatalkan sebahagian daripada Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) yang dibuat pada 31 Mac 2023.
Ia berkaitan pengecualian nikotin dalam cecair dan gel vape daripada senarai racun, sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 diluluskan bagi mengawal penjualan produk merokok termasuk vape dan e-rokok kepada individu bawah 18 tahun.



