Mahkamah Putuskan Kematian Pegawai Kadet TLDM 6 Tahun Lalu Sebagai Kes Bunuh

Entertainment
30 Jul 2024 • 10:37 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Mahkamah Tinggi Ipoh semalam memutuskan bahawa kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam pada enam tahun lepas sebagai kes bunuh (homisid).

Menurut Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed, punca kematian mangsa ialah edema pulmonari yang disebabkan Leptospirosis dan akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM yang bertanggungjawab bagi latihan kadet yang menafikan rawatan perubatan kepada Soosaimanicckam.

image is not available

Selepas mengambil kira semua bukti pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Soosaimanicckam, mahkamah ini mengetepikan dapatan keputusan terbuka Mahkamah Koroner dan menggantikannya dengan homisid,” katanya.

Tambahnya lagi, Koroner Ainul Shahrin Mohamad telah khilaf dalam mengumumkan ‘keputusan terbuka’ dalam kes itu tanpa menimbangkan semua bukti yang dikemukakan kepadanya.

Meninggal selepas mengadu sesak nafas dan sakit dada

Mengimbas kembali fakta kes, pada Jun tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen yang bersidang sebagai Koroner telah mengisytiharkan keputusan terbuka dalam prosiding inkues berhubung punca kematian Soosaimanicckam semasa menjalani latihan pegawai kadet.

Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 tengah hari pada 19 Mei 2018 di Hospital Angkatan Tentera Lumut selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya setelah selesai menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih.

image is not available

Peguam Zaid Malek yang mewakili keluarga mangsa berkata, Mahkamah Tinggi hari ini yang membuat keputusan tersebut adalah berhubung dengan rayuan bapa mendiang iaitu S. Joseph, 71, yang tak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner.

Mahkamah Tinggi telah bersetuju dengan hujahan pihak perayu dan telah menukar keputusan terbuka tersebut kepada kes homisid.

“Berkenaan dengan siapa yang bertanggungjawab berhubung kematian mendiang, Mahkamah Tinggi telah meneliti semula bukti-bukti yang sedia ada dan keterangan saksi menunjukkan bahawa terdapat bukti jelas mendiang memang cuba mendapatkan rawatan tetapi tidak dibenarkan oleh pegawai TLDM,” katanya lagi.

Bukti di mahkamah juga katanya jelas menunjukkan punca mendiang meninggal dunia adalah kerana edema pulmonari disebabkan Leptospirosis yang dijangkitinya semasa menjalani latihan di KD Sultan Idris.

Semoga kematian mangsa terbela.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.