Mahkamah Putuskan Pernikahan Aslam & Marissa Sah Disisi Undang-Undang Malaysia

Entertainment
27 May 2025 • 4:10 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Siapa yang tidak kenal dengan pasangan pempengaruh sensasi, Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid atau juga dikenali sebagai Aslam?

Pasangan ini sering menjadi bualan ramai disebabkan kontroversi yang melanda.

Antara yang paling mendapat perhatian adalah status pernikahan mereka di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 sewaktu isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang berada di Mekah mengerjakan ibadah umrah.

Hari ini (27 Mei), pasangan itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi mendapat status pengesahan perkahwinan mereka.

Mahkamah Putuskan Pernikahan Marissa & Aslam Sah Disisi Undang-Undang Malaysia

Terbaharu, kontroversi mengenai status pernikahan pasangan ini akhirnya terjawab apabila mahkamah mengesahkan ia sah disisi undang-undang Malaysia.

Menurut Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Wan Mohd Najib Wan Hamat, pihaknya bersetuju untuk mengesahkan pernikahan tersebut selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak.

Permohonan pengesahan itu dibuat berdasarkan Seksyen 23 (1A) iaitu pernikahan poligami tanpa kebenaran.

“Alhamdulillah, kes sudah selesai. Kamu sudahpun sah (disisi undang-undang Malaysia).

“Saya tidak ada apa-apa lagi yang mahu katakan. Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak,” kata Aslam yang dipetik daripada mStar.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang komen daripada Marissa berhubung perkara itu.

Pasangan Boleh Terus Daftarkan Perkahwinan, Denda & Hukuman Akan Dijelaskan Oleh Pendakwa Syarie

Jelas peguam yang mewakili pasangan berkenaan, Muhammad Ammar Yaser, Marissa dan Aslam sudah boleh mengambil langkah seterusnya dengan mendaftarkan perkahwinan mereka di Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI).

Ketika diminta mengulas mengenai denda dan hukuman, Muhammad Ammar menjelaskan ianya akan dibuat oleh pendakwa syarie.

“Dokumen pernikahan di Thailand juga sudah disahkan oleh mahkamah. Jadi pernikahan mereka adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang dan boleh didaftarkan.

“Selepas selesai proses ini, mereka perlu daftarkan pernikahan pada bila-bila amsa dengan kadar segera di Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI).

“Kita tahu ia merupakan kesalahan yang boleh dikenakan denda dan penjara namun apa pun Pendakwa Syarie yang akan lakukan prosiding seterusnya bagi membuka fail siasatan,” terangnya lagi.

Peguam Nafi Dakwaan Marissa & Aslam Daftar Nikah Selepas Kehamilan Marissa

Memetik Kosmo, Ammar turut menafikan dakwaan anak guamnya hanya mengemukakan pendaftaran pernikahan setelah setahun bernikah di Songkhla, Thailand selepas kehamilan Marissa.

“Oh tidak, apa yang saya jelaskan sebelum ini hanyalah contoh sahaja kerana untuk mana-mana pasangan pun, pendaftaran pernikahan sangat penting.

“Perkara membabitkan pengesahan pernikahan di bawah undang-undang negara mempunyai kaitan dengan isu perwalian, nasab, harta pusaka dan sebagainya,” jelasnya.

Sebelum ini, Marissa dan Aslam telah hadir ke mahkamah pada 5 Mei lalu bagi tujuan prosiding siasatan dan pengesahan pernikahan di luar negara.

Namun, prosiding tersebut terpaksa ditangguhkan kerana terdapat kesilapan teknikal ketika mengisi borang.

Sekadar info, kisah pernikahan Marissa dan Aslam mula menjadi bualan ramai memandangkan Aslam berstatus suami orang ketika berkahwin dengan Marissa.

Malah, pernikahan itu juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa sendiri termasuk ibu serta bapanya iaitu pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.

Pasangan ini belum dikurniakan cahaya mata selepas Marissa mengalami keguguran sewaktu usia kandungan enam bulan.

Source: