Mahkamah Rayuan berpihak kepada kerajaan Pahang, tolak bantahan Berjaya Hills

24 Jul 2026 • 9:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah Rayuan berpihak kepada kerajaan Pahang, tolak bantahan Berjaya Hills Image from: Mahkamah Rayuan berpihak kepada kerajaan Pahang, tolak bantahan Berjaya Hills liza24/07/2026 - 09:37 Berjaya Hills Resort, Pahang Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Julai – Mahkamah Rayuan menolak rayuan Berjaya Hills Resort Bhd dan empat syarikat berkaitan terhadap kenaikan kadar cukai tanah di Bentong, Pahang sekali gus mengesahkan kerajaan negeri berkuasa menentukan kadar cukai tanah tanpa perlu mendapatkan kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN).

 

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk P. Ravinthran bersama Hakim Datuk Choo Kah Sing dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

 

Pertikaian itu timbul susulan pelaksanaan Kaedah-Kaedah Tanah Pahang (Pindaan) (No. 3) 2019 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2020, sebelum Jabatan Tanah dan Galian (JTG) Pahang mengenakan kadar cukai tanah baharu pada 2023 termasuk secara retrospektif (berkuat kuasa dari tempoh terdahulu) bagi tahun 2020, 2021 dan 2022.

 

 

 

 

 

Berikutan itu, Berjaya Hills Resort Bhd dan empat syarikat berkaitan memfailkan semakan kehakiman pada 19 Ogos 2024 bagi mencabar keputusan Pengarah JTG Pahang menaikkan kadar cukai tanah. 

 

Namun, permohonan itu ditolak Mahkamah Tinggi sebelum mereka mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

 

Mahkamah Perjelas Peranan Majlis Tanah Negara

Syarikat-syarikat terbabit berhujah bahawa semakan kadar cukai tanah tersebut tidak sah kerana kerajaan Pahang tidak memperoleh kelulusan terlebih dahulu daripada MTN seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 101(5) Kanun Tanah Negara.

 

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa fungsi MTN adalah menggubal dasar tanah negara serta memberi nasihat kepada kerajaan Persekutuan dan negeri, bukannya meluluskan atau menilai kadar cukai tanah yang ditetapkan oleh setiap kerajaan negeri.

 

Hakim Choo berkata Seksyen 14(1)(e) Kanun Tanah Negara memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk menentukan kadar cukai tanah, manakala Seksyen 101(3) membolehkan negeri menaikkan atau menurunkan kadar tersebut, menetapkan kadar berbeza mengikut kategori tanah atau memperkenalkan kadar baharu.

 

Beliau menjelaskan sebarang kelulusan MTN di bawah Seksyen 101(5) hanya berkaitan pelaksanaan semakan kadar cukai tanah, termasuk tempoh semakan dibuat dan bukannya jumlah kadar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

 

Semakan Setiap 10 Tahun Disaran MTN

Menurut Choo, dalam Mesyuarat MTN Ke-70 pada 18 Ogos 2014, majlis itu hanya menasihatkan kerajaan negeri supaya mempertimbangkan semakan kadar cukai tanah memandangkan semakan terakhir dibuat pada 2004, selain mencadangkan semakan dilaksanakan setiap 10 tahun.

 

Beliau turut menegaskan tiada peruntukan dalam Kanun Tanah Negara yang mewajibkan kadar cukai tanah yang ditentukan kerajaan negeri mendapat kelulusan MTN, sekali gus mengesahkan kuasa tersebut terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa negeri.

 

 

 

 

Mengenai pelaksanaan kadar baharu secara retrospektif bagi tahun 2020 hingga 2022, mahkamah berpendapat pindaan berkenaan tidak menjejaskan kepentingan syarikat-syarikat terbabit dan tidak boleh dianggap melampaui bidang kuasa atau menyalahi undang-undang.

 

Mahkamah juga memutuskan Pengarah JTG Pahang tidak melakukan sebarang ketidakpatuhan prosedur atau melampaui kuasa ketika menyemak kadar cukai tanah berkenaan, selain mengarahkan lima syarikat terbabit membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Pengarah JTG Pahang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved