Mahkamah Rayuan Paris batalkan tuntutan waris Sulu, kemenangan untuk Malaysia

LocalPolitics
11 Dec 2025 • 1:07 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Mahkamah Rayuan Paris batalkan award pampasan USD14.9 bilion kepada waris Sulu, sahkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia, kata Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir membabitkan pampasan bernilai USD14.9 bilion yang sebelum ini memihak kepada penuntut yang mengaku waris Kesultanan Sulu dan menyifatkan ia sebagai penghakiman muktamad dan kemenangan besar buat Malaysia.

Beliau mengulangi pendirian tegas Sabah dalam mempertahankan kedaulatan negeri itu dalam Persekutuan Malaysia dan menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan tuntutan sedemikian.

“Keputusan Mahkamah Rayuan Paris sekali lagi mengesahkan pendirian Sabah selama ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Hajiji mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Keputusan mahkamah itu, yang dikeluarkan pada Selasa lepas, memutuskan bahawa penimbang tara Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa selain ketiadaan perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia dengan prosiding tersebut.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah kekal komited sepenuhnya untuk meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menolak sebarang tuntutan yang mungkin timbul pada masa akan datang.

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha gigih mereka dalam mempertahankan kedaulatan Sabah,” katanya sambil menambah usaha bersepada adalah perlu untuk menjaga keutuhan negeri itu dalam Persekutuan Malaysia. – Bernama