
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Mengeluarkan kenyataan atau menyebarkan sesuatu perkara memang mudah, apatah lagi dengan adanya platform-platform media sosial pada hari ini.
Bagaimanapun, sekiranya kenyataan yang diberikan itu tidak berasas atau tuduhan palsu semata-mata, maka ia dikira sebagai fitnah.
Di Malaysia, fitnah merupakan satu kesalahan yang boleh dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Jika didapati bersalah, hukuman denda atau penjara boleh dikenakan selain saman fitnah.
3 penulisan Ridhuan Tee di Facebook terhadap Ikram ada unsur fitnah
Seperti baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan tiga penulisan oleh Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah di Facebook miliknya pada 2020 lalu mempunyai unsur fitnah terhadap Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).
Menerusi kenyataan media semalam (29 April), Presiden Ikram, Badlishah Shah Baharin berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut melibatkan kapasiti untuk memfailkan saman fitnah.
Menurutnya, ketiga-tiga artikel berkenaan mengandungi dakwaan tidak berasas, palsu dan mencemarkan reputasi Ikram sebagai sebuah pertubuhan dakwah dan kebajikan yang sah berdaftar di negara ini.
“Keputusan Mahkamah Tinggi ini sekali gus membersihkan nama baik Ikram daripada pelbagai tohmahan tidak berasas yang telah ditimbulkan dalam penulisan tersebut.
“Artikel yang dimaksudkan ialah ‘Ikramisasi Ketika Wabak Covid-19 Melanda’ (15 April 2020), ‘Insaflah Ikram Sebelum Karam’ (18 April 2020) dan ‘Kenapa Ikram Begitu Baik dengan Ultra Kiasu, Dong Zong?’ (27 April 2020),” katanya dipetik Sinar Harian.
Cubaan Ikram selesaikan isu bersama Ridhuan Tee gagal
Jelasnya, sebelum mengambil tindakan undang-undang, pihaknya terlebih dahulu telah menghantar surat rasmi kepada Mohd Ridhuan Tee pada 16 April 2020 bagi mengadakan pertemuan, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Beliau (Mohd Ridhuan Tee) bukan sahaja tidak memberi respons, malah enggan bertemu, menyebabkan kami tiada pilihan selain memfailkan saman fitnah pada 25 Mac 2021 demi mempertahankan maruah dan integriti pertubuhan.
“Walaupun mahkamah menolak saman dari sudut teknikal berkaitan isu kapasiti undang-undang pertubuhan, mahkamah tetap memutuskan bahawa kandungan penulisan Mohd Ridhuan Tee adalah berunsur fitnah terhadap Ikram,” katanya.
Menurutnya lagi, keputusan berkenaan membuktikan bahawa segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Ikram adalah tidak berasas dan telah mencemarkan imej pertubuhan itu.
Harap Ridhuan Tee ambil iktibar, lebih berhati-hati dalam menulis dan kongsi pandangan
Badlishah berharap agar penceramah bebas itu juga mengambil iktibar daripada keputusan berkenaan supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam sebarang penulisan serta pandangan yang dikongsikan kepada umum.
“Sebagai pertubuhan yang sentiasa mengutamakan pendekatan harmoni dan dialog, Ikram kekal terbuka untuk berbincang secara langsung dengan mana-mana pihak termasuk Mohd Ridhuan Tee demi menjernihkan kekeliruan.
“Ikram turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam yang mewakili dan memperjuangkan kes itu dengan penuh dedikasi serta profesionalisme,” jelasnya.
Mahkamah tolak saman fitnah Ikram RM200 juta terhadap Ridhuan Tee
Sementara itu, Mohd Ridhuan Tee menerusi satu kenyataan pada semalam juga menyatakan mahkamah telah menolak saman fitnah Ikram sebanyak RM200 juga terhadap dirinya.
“Hakim memutuskan bahawa sebagai persatuan dan menurut Akta Persatuan, Ikram atau NGO seumpamanya, tidak boleh menyaman fitnah terhadap individu.
“Hakim juga menolak permohonan plaintif untuk artikel tersebut dipadam atau membuat permohonan maaf walaupun ia turut dimohon oleh Ikram,” ujarnya.
Source:

![Suntikan Epidural Bukan Cheat Code! Doktor Ini Jelas Kepentingannya Untuk Ibu Bersalin [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)
