amree20/11/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov — Ahli perniagaan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar taksiran cukai tambahan dan penalti berjumlah RM41.8 juta yang dikenakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun taksiran 2021 hingga 2024.
Lapor The Edge, Hakim Norliza Othman pada Jumaat turut membenarkan penangguhan pelaksanaan arahan pembayaran tersebut sementara menunggu pendengaran permohonan semakan kehakiman berkenaan yang dijadualkan pada 10 Jun 2027.
Kebenaran tersebut perlu diperoleh terlebih dahulu dalam prosiding semakan kehakiman sebelum mahkamah dapat mendengar merit sesuatu cabaran bagi memastikan permohonan itu tidak remeh, menyusahkan atau menyalahgunakan proses mahkamah.
Taksiran tambahan berkenaan dikeluarkan LHDN pada Jun lalu. Sebelum ini, pada 29 September 2026, mahkamah turut memberikan injunksi interim bagi menghalang LHDN daripada menguatkuasakan arahan pembayaran tersebut.
Mahmud Abu Bekir, anak kepada bekas Ketua Menteri Sarawak dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 14 September 2026 menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.
Beliau yang juga pengarah Cahya Mata Sarawak Berhad memohon 'certiorari' atau perintah mahkamah bagi membatalkan keputusan LHDN berhubung taksiran bagi tahun 2021, 2022, 2023 dan 2024 yang dimaklumkan menerusi surat bertarikh 23 Jun 2026.

Dalam permohonannya, Mahmud Abu Bekir mendakwa keputusan LHDN itu melampaui kuasa, menyalahi undang-undang, tidak sah dan tidak munasabah serta menafikan jangkaan sah beliau sebagai pembayar cukai.
Beliau turut memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 3 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) menetapkan cukai pendapatan dikenakan terhadap pendapatan seseorang yang terakru atau diperoleh di Malaysia, atau diterima di Malaysia dari luar negara.
Mahmud Abu Bekir juga berhujah kuasa LHDN di bawah Seksyen 3 dan 4 ACP terhad kepada penilaian cukai pendapatan, bukannya penilaian kekayaan atau nilai bersih seseorang.
Selain itu, beliau mendakwa tiada asas untuk LHDN sewenang-wenangnya menganggap pengeluaran wang daripada akaun bank pembayar cukai sebagai perbelanjaan tidak dapat dijelaskan dan mengklasifikasikannya sebagai pendapatan yang tidak diisytiharkan serta tertakluk kepada cukai.
Dalam afidavit sokongan, beliau menafikan tidak memberikan kerjasama kepada LHDN dengan menyatakan ejen cukainya, MNS Tax Management Consulting Sdn Bhd, telah mengemukakan 20 penyerahan berasingan kepada LHDN antara Oktober 2025 hingga Julai 2026.
Beliau turut mendakwa penyata modal dikemukakan pada 19 Jun 2026, namun taksiran tambahan dikeluarkan hanya empat hari kemudian. Mahmud Abu Bekir menegaskan LHDN tidak mempunyai peruntukan khusus di bawah ACP untuk menjadikan penyata modal sebagai asas taksiran cukai. - DagangNews.com






