Mahkamah Tinggi ketepi perintah koroner terdahulu

LocalPolitics
3 Sep 2025 • 12:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membatalkan keputusan koroner mahkamah yang membenarkan peguam kepada lima remaja didakwa membuli pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, mengambil bahagian dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematiannya.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar hujah semua pihak dalam pendengaran permohonan semakan terhadap keputusan Pengarah Mahkamah Sabah, Azreena Aziz, yang sebelum ini membenarkan peguam remaja terbabit menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues.

Permohonan semakan itu difailkan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).

Sikodol berkata semua arahan yang dibuat berhubung sebarang permohonan dalam inkues berkenaan dibatalkan dan pihak-pihak terbabit bebas untuk mengemukakan semula permohonan di hadapan koroner baharu, termasuk pasukan peguam keluarga Zara.

Katanya, dalam kes ini, koroner terdahulu telah membenarkan peguam yang mewakili remaja terbabit sebagai pihak berkepentingan untuk menyertai prosiding inkues.

“Tidak lama selepas itu, beliau menarik diri atas sebab mempunyai kepentingan peribadi dalam kes ini.

“Memandangkan beliau sudah berpendirian tidak boleh meneruskan kes, adalah tidak wajar untuk beliau memutuskan isu substantif yang sepatutnya diserahkan kepada koroner baharu. Jika tidak, ia seolah-olah membuat keputusan bagi pihak koroner yang akan mengambil alih, sekali gus menjejaskan prinsip kesaksamaan,” kata Sikodol.

Mahkamah turut menolak bantahan awal yang dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terhadap SLS.

Menurut beliau, meskipun SLS hanya hadir dalam inkues sebagai pemerhati dengan peranan terhad untuk memantau prosiding dan membantu mahkamah jika diminta, Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memanggil dan meneliti rekod mana-mana prosiding di mahkamah bawahan bagi memastikan kesahihan, keabsahan atau kewajaran sesuatu keputusan, hukuman atau perintah, serta keteraturan prosiding.

“Bidang kuasa penyeliaan ini boleh dilaksanakan malah atas inisiatif mahkamah sendiri. Dalam konteks itu, mana-mana pihak berhak membawa sesuatu isu kepada perhatian mahkamah.

“Memandangkan dimensi kepentingan awam dalam perkara ini dan peranan SLS sebagai penjaga kepentingan itu, saya berpendapat isu locus standi tidak seharusnya menghalang mereka daripada membangkitkan perkara ini. Oleh itu, saya menolak bantahan awal yang dibangkitkan oleh TPR,” katanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah, membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan SLS dengan alasan badan itu tiada locus standi untuk memfailkan permohonan semakan keputusan koroner sebelum ini.

Nahra berhujah bahawa SLS dalam kapasitinya sebagai pemerhati hanya boleh memerhati prosiding inkues, dan tindakan memfailkan permohonan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Namun, peguam Dominic Ghani bersama Jamadi Saleh dan Nabila Norshar yang mewakili SLS berhujah bahawa badan itu mempunyai locus standi untuk memohon semakan kerana campur tangan adalah perlu demi menjaga integriti prosiding inkues serta memastikan prinsip keadilan semula jadi dipatuhi.

Bagi permohonan semakan itu, Dominic memohon mahkamah membatalkan keputusan koroner bertarikh 28 Ogos.

Katanya, keputusan koroner dibuat secara terkhilaf, bercanggah dengan arahan amalan, autoriti sedia ada dan prinsip keadilan semula jadi.

Oleh itu, Dominic menggesa mahkamah menggunakan kuasa semakan di bawah Seksyen 323 KTJ untuk memastikan proses inkues kekal setia kepada tujuan statutori, iaitu mencari kebenaran tentang bagaimana si mati meninggal dunia, bebas daripada kepentingan luar atau berat sebelah. Pasukan peguam keluarga Zara turut memfailkan permohonan semakan berasingan.

Peguam Shahlan Jufri bersama Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James hadir mewakili keluarga Zara.

Peguam Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Datuk Ram Singh, Joan Goh serta Prem Elmer Ganasan pula mewakili lima remaja yang sebelum ini dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak. Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, turut hadir dalam prosiding.

Inkues dijadualkan bermula hari ini (Rabu) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak sebagai koroner baharu.