SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Na'im Brundage untuk meminda permohonan kebenaran semakan kehakiman serta kenyataan yang difailkan berhubung kes sekatan akaun TikTok miliknya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, susulan keputusan itu, mahkamah turut memerintahkan kos sebanyak RM2,000 dibayar kepada responden pertama hingga ketiga secara kolektif.
Menurut MCMC, mahkamah tidak membenarkan cadangan pindaan dikemukakan Na'im selaku pemohon bagi mengubah relif certiorari dan mandamus untuk memasukkan permintaan dan/atau arahan suruhanjaya itu kepada pihak TikTok berkaitan akaun berkenaan.
Mahkamah mendapati pemohon gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung kelewatan yang melampau dalam memfailkan permohonan pindaan tersebut.
Selain itu, mahkamah memutuskan bahawa cadangan pindaan berkenaan tidak dibuat secara suci hati (bona fide).
Susulan itu, mahkamah menetapkan 22 September 2026 sebagai tarikh pendengaran bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman asal.
Pada prosiding itu nanti, pemohon dan MCMC dijadualkan mengemukakan hujah masing-masing secara lisan.
Dalam prosiding berkenaan, MCMC diwakili Tetuan Sitham & Associates, manakala Na'im diwakili Tetuan Daim & Gamany.






