
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan perintah mengosongkan kediaman rasmi dan Balai Undang Rembau dan Sungei Ujong.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu melalui prosiding secara dalam talian kira-kira pukul 4.30 petang tadi.
Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati kerajaan negeri selaku responden tidak mempunyai kedudukan undang-undang (locus standi) untuk memulakan prosiding di bawah Perintah 89 Peraturan Mahkamah.
Katanya, Seksyen 16 Kanun Tanah Negara (KTN) menghendaki prosiding dimulakan oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri atas nama pejabat tersebut.
“Bagaimanapun, kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai pemilikan berdaftar mahu pun kapasiti statutori untuk menyaman atas pencerobohan atau pemilikan.
“Perayu tidak membuktikan sama ada hak milik atau hak pemilikan, yang akibatnya ambang batas di bawah Peraturan 89 Peraturan Mahkamah tidak dipenuhi,” katanya.
Pihak responden terdiri daripada Abdul Rahim Yasin dan Datuk Mubarak Dohak yang didakwa sudah dilucutkan daripada kedudukan sebagai Undang Luak Rembau dan Undang Luak Sungei Ujong.
Turut dinamakan sebagai responden ialah semua penghuni atau individu yang menduduki Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Pada prosiding tersebut, kerajaan negeri diwakili oleh peguam Muhammad Hariz Md Yusoff manakala Choo Shi Jin dan Asmawi Ismail, masing-masing mewakili Abdul Rahim Yasin dan Datuk Mubarak Thahak.
Mahkamah hari ini memutuskan bahawa premis yang dipertikaikan bukannya tanah negeri sebaliknya ia adalah tanah rizab di bawah KTN.
Di bawah Seksyen 16(1)(c) KTN, sebarang tindakan undang-undang mengenai dakwaan pencerobohan atau pendudukan salah tanah rizab mesti dimulakan oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri bagi pihak Pihak Berkuasa Negeri dan bukan secara langsung oleh kerajaan negeri.
Roz Mawar menjelaskan bahawa pemecatan itu tidak memberikan sebarang pemilikan sah atau hak milik kepada responden selain tidak menyelesaikan sebarang pertikaian asas mengenai pemegang hak milik sah jawatan Undang Luak.
Mahkamah Tinggi kemudian memerintahkan kerajaan Negeri Sembilan membayar kos RM25,000 bagi dua saman yang berjumlah RM50,000 kepada responden pertama. – UTUSAN
The post Mahkamah tolak permohonan untuk pengosongan dua balai Undang appeared first on Utusan Malaysia.





