
PETALING JAYA: Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad, Tuan Haji Abdullah Zaik, melahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wang RM21 juta dalam 12 akaun bank serta satu jongkong emas milik pertubuhan itu.
Abdullah Zaik berkata, keputusan berkenaan memberi kelegaan kepada pihaknya yang memilih untuk membersihkan nama Aman Palestin melalui proses perundangan.
“Alhamdulillah, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang dalam akaun-akaun bank serta pembelian jongkong emas berkenaan sebagai perlakuan salah di bawah akta berkenaan.” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mahkamah dalam keputusannya mendapati pemohon gagal membuktikan wang dalam 12 akaun bank serta pembelian jongkong emas berkenaan mempunyai kaitan dengan perlakuan salah di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Menurut beliau, pihaknya berharap keputusan itu dapat membantu memulihkan persepsi masyarakat terhadap Aman Palestin, selain membolehkan pertubuhan berkenaan meneruskan usaha membantu rakyat Palestin.
“Saya berasa terharu kerana harapan untuk meneruskan legasi perjuangan membantu rakyat Palestin dapat diteruskan dengan sokongan yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia, apatah lagi dalam keadaan sukar yang berlaku pada hari ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan SPRM memohon supaya satu jongkong emas dan wang RM21 juta dalam 12 akaun bank milik Aman Palestin Sdn. Bhd. dilucut hak menerusi prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Beliau pada masa sama berharap tiada pihak mengambil kesempatan untuk melontarkan persepsi negatif atau memutarbelitkan cerita berhubung keputusan berkenaan.
Menurutnya, SPRM turut menjalankan tanggungjawab dengan baik sepanjang proses siasatan, manakala pihak Aman Palestin memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam bela yang telah bertungkus-lumus untuk mendapatkan kejayaan pada hari ini,” katanya.
The post Aman Palestin syukur permohonan lucut hak RM21 juta ditolak appeared first on Utusan Malaysia.





