Mahkamah Tolak Rayuan Pihak Pendakwa, Farid Kamil Terlepas Hukuman Penjara

Entertainment
8 Jul 2022 • 5:16 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara 13 bulan kepada denda RM5,000 terhadap pelakon dan pengarah Farid Kamil dalam kesnya menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Untuk rekod, pihak pendakwaan telah memfailkan satu rayuan dalam usaha mengembalikan hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas pelakon tersebut oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Pun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang memohon pihak Mahkamah Rayuan untuk membenarkan permohonannya tersebut mendapat lanjutan masa bagi membolehkan beliau membetulkan notis rayuan yang didapati tidak mengandungi tandatangan ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara.

image is not available

“Ia adalah ‘kecuaian’ di pihak pendakwaan.”

Permohonan untuk lanjutan masa bagi membetulkan notis rayuan tersebut bagaimanapun ditolak oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Hanipah Farikullah itu sambil berkata perkara tersebut telah tiga kali dimaklumkan kepada pihak pendakwaan oleh timbalan pendaftar mahkamah behubung ketiadaan tanda tangan tersebut dalam notis rayuan.

Panel tiga hakim tersebut bersidang sebelum menolak rayuan yang dikemukakan pihak pendakwa tersebut.

image is not available

Terdahulu, peguam yang mewakili Farid Kamil telah mengemukakan bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan dengan berkata timbalan pendaftar sudahpun memaklumkan pihak pendakwaan sebanyak tiga kali mengenai kecacatan dalam notis rayuan tersebut.

Namun, pihak pendakwa hanya memfailkan permohonan lanjutan masa pada Mei tahun ini dan ianya telah lewat selama 5 bulan.

Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Farid Kamil serta dibantu peguam bersama Kee Wei Lon kemudian menggesa mahkamah agar membatalkan rayuan pihak pendakwaan kerana ianya tidak wajar.

Susulan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, denda RM5,000 yang dikenakan terhadap pelakon dan pengarah berkenaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis bagi menghalangnya melaksanakan tugas adalah kekal.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.