Mahu Kerja Di Singapura Jadi Punca 900 Pelajar Di Johor Tak Ambil SPM 2024

LocalPolitics
12 Feb 2025 • 5:53 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang bermula pada 2 Disember 2024 baru sahaja melabuhkan tirai pada 6 Februari 2025 yang lalu.

Calon-calon yang terlibat dalam peperiksaan penting itu kini menarik nafas lega apabila mereka akhirnya berjaya menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Sudah pastinya setiap pelajar mahu meraih pencapaian terbaik bagi peperiksaan SPM ini kerana ia bakal menentukan masa hadapan mereka dari segi tawaran universiti.

900 Pelajar Johor Tidak Duduki SPM Pada Tahun 2024

Walau bagaimanapun, Berita Harian melaporkan bahawa terdapat calon SPM 2024 di Johor yang tidak mengambil peperiksaan ini dan ia secara tidak langsung telah menyumbang kepada statistik kumpulan pelajar yang beranggapan SPM itu tidak penting.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata tanggapan ini mula wujud dalam minda pelajar-pelajar berkenaan selepas membuat keputusan untuk bekerja di Singapura.

image is not available
Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Selain faktor tawaran gaji lebih lumayan serta kadar pertukaran mata wang yang tinggi, tiada syarat kelayakan SPM yang dinyatakan untuk bekerja di sana juga menjadi punca ramai pelajar tertarik untuk bekerja di negara republik itu.

“Dianggarkan 900 pelajar di Johor yang tidak menduduki peperiksaan SPM tahun ini, walaupun jumlah itu menurun berbanding tahun lalu, ia masih membimbangkan.

“Cuma cabaran kita ini, Singapura tidak memerlukan kelayakan SPM untuk ambil pelajar-pelajar kita bekerja,” kata Aznan.

Jelas beliau lagi, perkara ini telah mencetuskan kebimbangan dan meminta para ibu bapa untuk memainkan peranan masing-masing.

“Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memastikan anak mereka menamatkan persekolahan dengan menduduki SPM.

“Pihak sekolah perlu sentiasa mengadakan sesi libat urus kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar supaya mereka diberi penekanan bahawa SPM itu penting yang menjadi penentu masa depan mereka,” katanya.

97% Pelajar Seluruh Malaysia Hadir Ketika Peperiksaan SPM 2024

image is not available
Sumber: MalayMail

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Januari lalu memaklumkan bahawa peratusan kehadiran calon SPM 2024 adalah sekitar 97%. Namun seramai 10,000 calon tidak mengesahkan kehadiran mereka.

“Anak-anak kita yang mengambil peperiksaan sudah pun mencecah 97%, ini kehadiran yang baik.

“Ada lebih kurang 10,000 lagi. Jadi kita harap kehadiran ini dapat kita pertingkatkan untuk memastikan anak-anak kita hadir ke peperiksaan SPM,” kata ketika sidang media pengoperasian peperiksaan SPM 2024 di Putrajaya.

Memetik laporan Astro Awani, urusan melibatkan 402,956 calon berdaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara telah berjalan dengan lancar meskipun berdepan bencara banjir di beberapa negeri berikutan musim Monsun Timur Laut.

Kenapa Pentingnya Untuk Memiliki Sijil SPM?

Bukan sekadar sijil berbentuk kertas, peperiksaan SPM ini boleh membuka peluang baharu kepada mereka yang berusaha untuk mendapatkan keputusan akademik yang baik.

Bukan sahaja membuka peluang untuk mendapat tawaran universiti di dalam negara, malah tidak mustahil juga mereka diberikan biasiswa untuk menyambung pengajian ke luar negara.

image is not available
Sumber: MalayMail

Tahap pendidikan yang berkualiti ini secara tidak langsung dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan di syarikat bertaraf antarabangsa selepas tamat pengajian.

Malah, mereka yang memiliki sijil SPM juga boleh melayakkan diri untuk menerima gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM1,700 berkuatkuasa 1 Februari tahun ini.