Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpandangan tiada keperluan untuk kerajaan melakukan rombakan Kabinet ketika ini.
Bubar parlimen wajar dipertimbangkan
Memetik laporan daripada Harian Metro, Presiden UMNO itu berpendapat pembubaran Parlimen lebih wajar dipertimbangkan bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan semula mandat kepimpinan negara.
“Saya tidak nampak adanya keperluan sekarang ini untuk mengadakan rombakan Kabinet, walaupun ada seorang yang mungkin telah komited untuk meletakkan jawatan ketika sampainya Datuk Seri Najib ke rumah beliau bagi menjalani baki hukuman.
“Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet. Sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan, iaitu kita berikan mandat semula kepada rakyat. Dan kita bentuklah Kabinet baharu selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Perhimpunan Kakitangan Kemas Bersama Kepimpinan Tertinggi pada Selasa, ketika diminta mengulas kemungkinan rombakan Kabinet susulan perkembangan politik semasa.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata belum tiba masanya untuk mempertimbangkan rombakan Kabinet, susulan tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara yang bakal berakhir pada 11 Disember ini.
Untuk rekod, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta pada 6 November lalu susulan perkembangan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sumber: Harian Metro (Suharmin Yusuf)






