Mahu Tuduhan Lebih Berat, Peguam Ibu Zara Rayu Tangguh Dakwa Lima Remaja Esok

LocalPolitics
19 Aug 2025 • 11:51 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Peguam yang mewakili ibu kepada Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat merayu agar pendakwaan terhadap lima remaja terbabit dalam kes buli ditangguhkan sementara waktu bagi memberi ruang pertuduhan lebih berat dipertimbangkan.

Rayu tangguh dakwa lima remaja esok

Menurut peguam, Hamid Ismail, pihaknya bimbang sekiranya prosiding inkues yang dijadualkan pada September depan mendedahkan keterangan baharu yang mengaitkan kesalahan lebih serius, kelima-lima tertuduh tidak boleh lagi didakwa semula atas prinsip double jeopardy atau perbicaraan berulang.

“Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah pada esok hari atau tarikh-tarikh berikutnya,

“Apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Kesalahan atau kesalahan yang lebih berat…

“…mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar DOUBLE JEOPARDY yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dilapor Buletin TV3.

image is not available

Foto: Utusan

Hamid berkata, justeru pihaknya telah menulis surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada pagi ini dan telah dihantar melalui emel selain memohon pertimbangan agar semua remaja terlibat dituduh di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, pihaknya berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika,

“Namun sekiranya keterangan yang ada sekarang dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa semua remaja di atas bagi kesalahan yang lebih berat dari seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami merayu agar mereka didakwa bagi kesalahan yang lebih berat itu,” ujarnya.

image is not available

Foto: Bernama

Semalam, Mohd Dusuki berkata seramai lima remaja bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada esok berhubung kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara.

Semua remaja terbabit berusia bawah 18 tahun akan dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu bagi proses pertuduhan.

Sumber: Buletin TV3 (Safwan Sawi)