MAIK lahirkan dua hafiz al-Quran di balik tirai besi

20 Apr 2026 • 6:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MAIK lahirkan dua hafiz al-Quran di balik tirai besi
Tengku Mohamad Rizam (tiga dari kiri) menyampaikan saguhati khatam al-Quran kepada salah seorang hafiz al-Quran pada Majlis Khatam Perdana Hafazan Al-Quran Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

MACHANG - Program pemulihan akhlak melalui pendidikan al-Quran anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencatat kejayaan membanggakan apabila dua prospek atau mujahid berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh singkat.

Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia sekali gus membuktikan institusi pemulihan bukan pengakhiran hidup, sebaliknya mampu menjadi medan melahirkan insan baharu berteraskan al-Quran.

Menurut beliau, Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan MAIK diwujudkan khusus bagi melahirkan golongan hafiz dalam kalangan prospek sekali gus membantu proses pemulihan diri mereka.

"Sejak program ini bermula pada Disember 2023, dua huffaz berjaya dilahirkan dan menamatkan hafazan 30 juzuk dalam tempoh singkat. Saya amat bersyukur dengan pencapaian ini," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Khatam Perdana Hafazan Al-Quran Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang di sini.

Menurut beliau, lebih membanggakan apabila seorang daripada peserta berkenaan dipilih sebagai penerima Insentif Huffaz Al-Quran MAIK 2026.

Ujarnya, program itu menerima 121 permohonan, namun hanya 60 peserta berjaya melepasi saringan ketat jawatankuasa panel penilai.

Tambah beliau, setiap peserta menerima insentif RM7,200 setahun atau RM600 sebulan selain diberi tanggungjawab mengetuai program murajaah hafazan di masjid terpilih seluruh Kelantan.

"Program berkenaan dibiayai menerusi dana zakat dan Wakaf Sultan Mansor bagi menampung operasi, kemudahan pembelajaran serta elaun guru dan peserta.

"Dalam pada itu, MAIK mengakui berdepan cabaran apabila ada peserta menerima parol sebelum sempat menamatkan hafazan 30 juzuk," katanya.

Bagaimanapun beliau memberitahu, mereka ditempatkan di beberapa masjid termasuk di Pengkalan Chepa, Rantau Panjang dan Jeli bagi membolehkan hafazan diteruskan.

Kata beliau, MAIK komited memperkasa program ini demi melahirkan lebih ramai generasi al-Quran yang mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.