MAIS disaran perkenal Protokol Akses Perkhidmatan, permudah urusan OKU

LocalPolitics
5 Aug 2026 • 7:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MAIS disaran perkenal Protokol Akses Perkhidmatan, permudah urusan OKU

SHAH ALAM, 5 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) disaran memperkenalkan Protokol Akses Perkhidmatan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memudahkan golongan itu mengakses perkhidmatan yang disediakan tanpa halangan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berkata protokol yang dicadangkan itu merangkumi penyediaan jurubahasa bahasa isyarat, dokumen dalam format Braille, cetakan besar, rakaman audio serta format digital yang serasi dengan teknologi bantuan.

"Kita tidak boleh bercakap tentang memperluas perkhidmatan kepada masyarakat sekiranya masih terdapat sebahagian komuniti yang tidak mampu mengaksesnya.

"Pindaan ini mesti diterjemahkan kepada perubahan yang benar-benar dirasai oleh golongan OKU, bukan sekadar menyebut mereka sebagai salah satu kumpulan penerima tanpa menetapkan mekanisme pelaksanaan yang jelas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Image from: MAIS disaran perkenal Protokol Akses Perkhidmatan, permudah urusan OKU
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berucap ketika Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 4 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/ MEDIA SELANGOR

Danial yang juga Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) berkata, golongan OKU turut memerlukan akses kepada pengurusan wasiat, hibah, tuntutan nafkah, pertikaian keluarga dan urusan pusaka, namun masih berdepan pelbagai kekangan untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan.

Selain penyediaan Protokol Akses Perkhidmatan kepada OKU, Danial turut mencadangkan audit aksesibiliti terhadap premis dan platform digital MAIS, penyediaan kemudahan fizikal mesra OKU serta latihan berterusan kepada pegawai bagi mengendalikan pelanggan daripada pelbagai kategori ketidakupayaan.

Menurutnya, aksesibiliti bukan satu keistimewaan atau layanan khas, sebaliknya syarat asas bagi memastikan setiap rakyat menerima perkhidmatan secara saksama.

"Ukuran sebenar kejayaan pindaan ini adalah apabila seorang individu pekak boleh mendapatkan nasihat guaman dengan bantuan jurubahasa, seorang OKU penglihatan dapat memahami dokumen secara bebas dan pengguna kerusi roda dapat memasuki premis tanpa bergantung kepada ihsan orang lain," katanya.

Pada masa sama, beliau mencadangkan MAIS bekerjasama dengan MTOS, persatuan OKU serta badan profesional bagi membangunkan garis panduan penyampaian perkhidmatan yang lebih inklusif.

Katanya, langkah itu penting supaya semua perkhidmatan dirancang dengan mengambil kira keperluan golongan OKU sejak peringkat awal, tanpa perlu diubah suai hanya selepas aduan diterima.

RUU Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 dibentangkan pada Persidangan DNS hari ini bagi memperkukuh kerangka perundangan Islam di negeri ini.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pindaan itu bukan bertujuan mengubah dasar agama Islam di Selangor, sebaliknya memperkemas dan memperjelas peruntukan sedia ada supaya lebih teratur, berkesan serta selaras dengan keperluan pentadbiran dan perkembangan perundangan syariah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved