MAIS Menyifatkan GISBH Seleweng Daripada Ajaran Islam

LocalPolitics
22 Oct 2024 • 12:06 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

MAIS Menyifatkan GISBH Seleweng Daripada Ajaran Islam

Fatwa Fahaman, Ajaran, Pegangan atau Amalan Global Ikhwan Services And Business Holdings Sdn. Bhd (GISBH) dan rangkaiannya yang telah diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor pada 16 Oktober 2024.

Merujuk kepada fatwa yang telah diwartakan ini, fahaman, ajaran, pegangan atau amalan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya mempunyai elemen-elemen yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat.

Berdasarkan fatwa tersebut, mana-mana orang Islam di Negeri Selangor adalah dilarang dan diharamkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya termasuk apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang telah diharamkan ini.

Selaras dengan fatwa tersebut juga, mana-mana orang Islam yang telah menyertai, mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang telah diharamkan ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT dan pihak berkuasa yang berkaitan bertanggungjawab untuk melaksanakan pemulihan kepada mereka.

Masyarakat Islam di Negeri Selangor dinasihatkan untuk menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang telah diwartakan. Mana mana orang yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Bagi melaksanakan tanggungjawab pemulihan sepertimana fatwa yang telah diwartakan, MAIS bersama agensi Kerajaan Negeri termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan plan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan dewasa. Pemulihan yang akan dilaksanakan merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses Istitabah dan kaunseling.

Selanjutnya, MAIS juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini. MAIS menegaskan bahawa program ini adalah selaras dengan fatwa yang telah diwartakan.

Justeru, MAIS mengalu-alukan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan ini. Pada masa ini, MAIS dan agensi Islam di Negeri Selangor menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri.

Bagi rujukan penuh berkaitan fatwa yang diwartakan ini bolehlah layari laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Selangor di https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa selangor/