
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan dakwaan tanah di Mukim Serendah, Hulu Selangor yang didakwa milik institusi itu telah diceroboh bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam.
Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Sabirin Mohd Sarbini berkata, MAIS mengambil maklum mengenai hantaran yang tular di platform Facebook menerusi akaun Hang Tamim berkaitan perkara berkenaan.
Menurutnya, semakan yang dibuat mendapati tanah tersebut bukan milik MAIS dan tidak berada di bawah pengurusan institusi berkenaan.
“Berdasarkan semakan yang dibuat dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, tanah tersebut adalah tanah milik Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, MAIS juga difahamkan bahawa penyelesaian berhubung perkara itu sedang dalam tindakan pihak Kerajaan Negeri.
Sehubungan itu, Sabirin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
Menurutnya, tindakan tersebut penting bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran fitnah terhadap institusi agama Islam.
Dalam pada itu, MAIS mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan dakwaan pencerobohan tanah yang dipercayai milik atau berada di bawah pengurusan MAIS.
Aduan boleh disalurkan menerusi talian 03 5514 3400 atau 03 5514 2175, selain Sistem Aduan MAIS di eaduan.mais.gov.my.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian susulan hantaran di Facebook yang memaparkan dakwaan mengenai pembinaan kuil di atas tanah yang dikaitkan dengan MAIS.
Berdasarkan maklumat yang diberikan, hantaran susulan bertarikh 17 November 2026 itu menerima 130 tanda suka, 19 komen dan 20 perkongsian sehingga pukul 4.10 petang pada tarikh sama.
Baca juga:Maklumat berkenaan turut menyatakan kira kira 70 peratus komen yang diterima berbaur negatif terhadap JAIS dan MAIS.
Hantaran asal dan hantaran susulan boleh dirujuk menerusi pautan Facebook yang dikongsikan berkaitan isu tersebut.






