Selangor FC nafi dakwaan mahu tarik diri daripada saingan Liga M

LocalFootball
12 Nov 2026 • 12:50 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor FC nafi dakwaan mahu tarik diri daripada saingan Liga M

SHAH ALAM, 12 NOV: Selangor FC menafikan dakwaan mahu menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) susulan kontroversi layanan diterima ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Kuching City, baru-baru ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menegaskan perkara itu hanya khabar angin yang diperbesarkan sehingga mencetuskan pelbagai persepsi.

Menurutnya, keputusan meninggalkan saingan domestik tidak pernah dipertimbangkan kerana tindakan sedemikian boleh membawa implikasi besar terhadap kelab dan keseluruhan ekosistem bola sepak negara.

“Ini saya boleh katakan semua ini khabar angin. Sudah tentu apabila ia digembar-gemburkan, ia nampak jadi besar.

“Tapi saya boleh katakan memang tidak terlintas untuk kita keluar. Banyak implikasinya di kemudian hari,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran dan Undian FAS Selangor Champions League 2026 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Shahril turut mengingatkan semua pihak supaya lebih matang dalam menangani isu berkaitan bola sepak, selain mengelakkan kenyataan atau keputusan yang boleh menjejaskan perkembangan industri sukan berkenaan.

“Jadi kita pun kena jadi matang, jangan buat satu-satu kenyataan atau keputusan yang boleh mencacatcelakan industri bola sepak kita,” katanya.

Spekulasi mengenai penarikan diri Selangor FC tercetus selepas timbul persoalan berhubung layanan diterima skuad Gergasi Merah ketika menentang Kuching City dalam separuh akhir Piala FA di Kuching.

Perlawanan itu menyaksikan Kuching City menang 2-0 untuk mara ke final dengan agregat 3-2, selain berlaku kekecohan pada penghujung permainan sehingga seorang pemain dan pegawai Selangor FC dilayangkan kad merah.

Selangor FC merupakan antara kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak tempatan dengan rekod kejuaraan Piala Malaysia terbanyak, enam gelaran liga utama, lima Piala FA dan lapan Piala Sumbangsih.

Skuad Gergasi Merah turut mencipta sejarah sebagai naib juara Kejohanan Kelab Juara Asia pada 1967 serta melahirkan legenda bola sepak negara termasuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved