MAIS pantau pemegang tauliah, rekod kehadiran mulai tahun depan

17 Oct 2026 • 3:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MAIS pantau pemegang tauliah, rekod kehadiran mulai tahun depan

SHAH ALAM – Kehadiran pemegang tauliah mengajar di masjid dan surau di Selangor bakal dipantau menerusi Rekod Kehadiran Mengajar (RKM) secara menyeluruh mulai tahun depan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, rekod itu akan menjadi antara panduan penting bagi MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam mempertimbangkan permohonan melanjutkan tempoh tauliah.

Menurut beliau, RKM diwujudkan bagi mengenal pasti pemegang tauliah yang benar-benar aktif menjalankan tanggungjawab mengajar termasuk memenuhi jemputan pihak masjid dan surau.

Katanya, terdapat keadaan apabila penceramah yang dijemput tidak hadir sekaligus menyukarkan pihak berkuasa agama menilai tahap penglibatan mereka secara menyeluruh.

“Tujuan utama kita adalah mengumpulkan data pemegang tauliah yang aktif dan memastikan mereka sentiasa hadir mengajar di masjid serta surau.

“Kadang-kadang mereka dijemput tetapi tidak hadir. Rekod ini akan memudahkan JAIS dan MAIS menilai aktiviti mereka sebelum melanjutkan tempoh tauliah,” katanya ketika selepas merasmikan Ijtimak pemegang tauliah mengajar Selangor di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Salehuddin turut menyampaikan Anugerah Tokoh Penghantar Ilmu dan Dakwah Negeri Selangor kepada Shamsudin Sidek, 79, dan Faizah Mohd. Husain, 52.

Salehuddin berkata, pelaksanaan RKM telah dimulakan secara rintis di masjid-masjid di bawah pengurusan JAIS.

Ujarnya, beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan majoriti daripada 5,840 pemegang tauliah setakat ini.

“Secara keseluruhan, saya merasakan satu prestasi amat baik sekali di kalangan pemegang tauliah di Selangor meskipun masih terdapat segelintir yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Salehuddin menggalakkan guru agama dan penceramah mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta melaporkan pendapatan yang diterima daripada aktiviti mengajar.

Katanya, langkah itu penting kerana bayaran daripada masjid dan surau diterima dalam pelbagai bentuk, termasuk pindahan wang ke akaun dan tunai yang perlu direkodkan bagi tujuan percukaian.

“Kadang-kadang masjid atau surau memberikan bayaran melalui pindahan wang ke akaun atau secara tunai, tetapi tiada rekod untuk tujuan LHDN.

“Kita menggalakkan guru agama mendaftar dengan LHDN dan memaklumkan pendapatan yang diterima hasil mengajar di masjid serta surau,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

The post MAIS pantau pemegang tauliah, rekod kehadiran mulai tahun depan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved