
PETALING JAYA – Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Nik Nazmi Nik Ahmad direhatkan daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan susulan pengakuannya terlibat dalam kes khalwat yang disiasat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Presiden Bersama, Syukri Razab berkata, keputusan itu dibuat selepas parti mengambil maklum pengakuan Nik Nazmi berhubung insiden berkenaan yang tersebar baru-baru ini.
Menurutnya, Bersama memandang serius perkembangan tersebut dan berpendirian setiap isu membabitkan kepimpinan serta anggota parti perlu ditangani sewajarnya.
“(Ia) demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti.
“Sehubungan itu, parti memutuskan untuk merehatkan saudara Nik Nazmi Nik Ahmad berkuat kuasa mulai 20 Oktober 2026 hingga 19 Januari 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syukri berkata, keputusan berkenaan dibuat atas pertimbangan bahawa tindakan itu perlu dan munasabah dalam menangani perkembangan yang berlaku.
“Tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen saudara Nik Nazmi kepada perjuangan Bersama sejak parti ini dilancarkan semula pada Mei 2026,” katanya.
Terdahulu, Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengesahkan beliau merupakan salah seorang daripada dua individu yang ditahan JAIS dalam satu operasi di Petaling Jaya pada 15 Oktober lalu.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Nik Nazmi menjelaskan perbincangan bersama beberapa rakan pada mulanya berlangsung di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum diteruskan di Petaling Jaya bagi meneliti bahan berkaitan projek yang dibincangkan.
Bagaimanapun, beliau mengakui hanya dirinya dan seorang wanita berada di lokasi ketika pegawai JAIS tiba.
Nik Nazmi turut mengakui kesilapan pertimbangan berhubung kejadian itu serta menafikan berlaku sebarang perbuatan sumbang yang menimbulkan syak wasangka. – KOSMO! ONLINE
The post Nik Nazmi direhatkan tiga bulan daripada aktiviti parti appeared first on Kosmo Online.






